PRK Nenggiri: Polis sahkan ada cubaan pengaruhi pengundi untuk tidak keluar mengundi

Bernama
Ogos 15, 2024 15:53 MYT
Muhamad Zaki berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang mengeluarkan sebarang kenyataan provokasi melampau sehingga boleh mengganggu-gugat sistem demokrasi serta ketenteraman awam. - Gambar fail/Bernama
GUA MUSANG: Polis mengesahkan bahawa ada pihak tertentu yang cuba mempengaruhi pengundi untuk tidak menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Sabtu ini.
Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata pihaknya memandang serius perkara ini dan akan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang mengeluarkan sebarang kenyataan provokasi melampau sehingga boleh mengganggu-gugat sistem demokrasi serta ketenteraman awam.
"Mana-mana parti politik atau individu dilarang sama sekali menimbulkan provokasi antara satu sama lain bagi mengelakkan ketenteraman awam tergugat," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata perkara itu boleh disiasat di bawah Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
"Polis akan memastikan pilihan raya berjalan lancar tanpa sebarang halangan dan memberi jaminan bahawa semua pengundi akan dapat keluar mengundi dengan selamat, tanpa ragu-ragu dan bebas membuat pilihan tanpa dipengaruhi mana-mana individu supaya tidak menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi," katanya.
Muhamad Zaki turut memuji parti atau individu yang menjalankan kempen secara berhemah dan mematuhi kehendak pilihan raya.
PRK DUN Nenggiri, yang ditetapkan hari mengundi Sabtu ini, menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional.
PRK itu diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumumkan Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun selepas keahlian bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan oleh Bersatu pada 13 Jun.
-- BERNAMA
#Kerajaan Perpaduan #PRK Nenggiri #Barisan Nasional #provokasi