PRK Nenggiri: Keputusan di tangan 20,259 pengundi esok

Bernama
Ogos 16, 2024 20:04 MYT
PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan, manakala pencabarnya daripada Pas, Mohd Rizwadi Ismail. - Gambar fail/Bernama
GUA MUSANG: Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri akan ditentukan 20,259 pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab mengundi esok, selepas tamat 14 hari tempoh berkempen.
Kesemua 20 pusat mengundi melibatkan 46 saluran akan dibuka bermula 8 pagi hingga 6 petang dengan enam daripadanya mempunyai jumlah pengundi yang sedikit akan ditutup lebih awal.
Empat pusat mengundi akan ditutup pukul 2 petang iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, Pusat Pendidikan Komuniti Pos Gob, SK Sri Permai dan SK Kuala Sungai, manakala dua lagi ditutup 3 petang iaitu Dewan Orang Ramai Pos Simpor dan SK Pulat.
Proses penjumlahan undi pula akan berlangsung di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang di sini dengan Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) menjangkakan keputusan dapat diumumkan seawal pukul 9 malam esok.
Jabatan Meteorologi Malaysia menerusi laman web meramalkan cuaca cerah sepanjang proses pengundian yang menyaksikan kedua-dua calon, iaitu calon Barisan Nasional Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dan calon Pas Mohd Rizwadi Ismail mengundi di tempat sama iaitu Tabika Sri Bakawali, Bertam Lama.
Nenggiri ialah satu daripada tiga DUN di bawah Parlimen Gua Musang, berkeluasan 235,300 hektar atau hampir dua kali ganda keluasan Melaka.
Berdasarkan statistik SPR, daripada 20,259 pengundi berdaftar, 14 anggota polis telah mengundi secara pos yang menyaksikan tiada pusat mengundi awal dibuka, manakala secara keseluruhan sebanyak 43 kertas undi pos telah dikeluarkan pada 5 Ogos lepas kepada individu yang berhak.
Bagi membantu melancarkan proses pengundian, seramai 431 petugas SPR, dan seramai 995 anggota polis akan bertugas.
PRK DUN Nenggiri diadakan berikutan kekosongan kerusi diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lepas setelah bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan ke-15 Ogos tahun lepas, Mohd Azizi menewaskan calon BN Ab Aziz Yussof dengan majoriti 810 undi.
Ini ialah PRK kesembilan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 yang sebelum ini menyaksikan PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu); PRK DUN Simpang Jeram dan PRK Parlimen Pulai (Johor); PRK DUN Pelangai (Pahang); PRK DUN Jepak (Sarawak); PRK Parlimen Kemaman (Terengganu), PRK DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor) dan PRK DUN Sungai Bakap (Pulau Pinang).
-- BERNAMA
#Barisan Nasional #Suruhanjaya Pilihan Raya #PRK Nenggiri #MetMalaysia