PRK Nenggiri: 71.87 peratus keluar mengundi setakat 4 petang

Astro Awani
Ogos 17, 2024 16:37 MYT
Terdahulu, pada jam 3 petang, peratusan yang dicatatkan ialah 68.21 peratus, melebihi jangkaan awal 60 peratus oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). -Gambar fail/Bernama
GUA MUSANG: Peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada jam 4 petang mencatatkan 71.87 peratus.
Terdahulu, pada jam 3 petang, peratusan yang dicatatkan ialah 68.21 peratus, melebihi jangkaan awal 60 peratus oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Angka itu juga melebihi peratusan keluar mengundi dicatat DUN berkenaan pada Pilihan Raya Negeri ke-15, Ogos tahun lepas yang hanya mencapai 61.09 peratus.
Sebanyak 20,216 pengundi biasa daripada keseluruhan 20,259 pengundi berdaftar hari ini berpeluang memilih wakil rakyat baharu dengan menunaikan hak masing-masing di kesemua 20 pusat mengundi melibatkan 46 saluran yang dibuka serentak 8 pagi tadi.
Empat pusat mengundi telah ditutup pada 2 petang iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, Pusat Pendidikan Komuniti Pos Gob, SK Sri Permai dan SK Kuala Sungai.
Pusat mengundi di Dewan Orang Ramai Pos Simpor dan SK Pulat pula ditutup jam 3 petang, manakala 14 lagi pusat mengundi ditutup 6 petang nanti.
Dua helikopter digunakan untuk membawa peti undi dari pusat mengundi di kawasan Orang Asli Pos Simpor dan Pos Gob yang terletak lebih 100 kilometer dari Pusat Penjumlahan Rasmi Undi iaitu di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang.
Sebelum ini, 43 kertas undi pos telah dikeluarkan untuk individu yang bertugas sepanjang PRK termasuk anggota polis.
PRK itu menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang mewakili Kerajaan Perpaduan dan wakil Perikatan Nasional Mohd Rizwadi Ismail yang bertanding menggunakan logo PAS.
#PRK Nenggiri #peratus keluar mengundi #pilihan raya kecil #Gua Musang