PRK: MOT lulus lesen operasi sementara bas Malaysia-Singapura - Loke
Bernama
September 7, 2023 16:01 MYT
September 7, 2023 16:01 MYT
KLUANG: Kementerian Pengangkutan (MOT) meluluskan lesen operasi sementara bas bagi menambah perjalanan ulang alik laluan darat antara Malaysia dan Singapura sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Sabtu ini.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata inisiatif itu bertujuan mengurangkan kesesakan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) memandangkan jangkaan trafik luar biasa berikutan hari cuti sekolah di negara tersebut.
"Lebih 10 bas akan berulang-alik dari Singapura ke Johor Bahru. Kita juga menerima permohonan daripada syarikat bas untuk tambah trip dan diberikan lesen operasi sementara telah diberikan melalui APAD (Agensi Pengangkutan Awam Darat).
"Pengangkutan ini disediakan oleh pihak syarikat bas untuk mengelakkan lebih banyak kereta," katanya selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Strategik bagi pembinaan Kluang Heritage Railway Linear Park di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, di sini hari ini.
Sehubungan itu beliau menasihati pengundi (berada di Singapura) yang ingin pulang mengundi pada PRK Pulai dan Simpang Jeram supaya menggunakan pengangkutan awam serta perkhidmatan bas tambahan ada disediakan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram dilaksanakan serentak Sabtu ini susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas.
Dalam perkembangan lain, mengulas kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Nur Jazlan Mohamed yang menasihatkan supaya beliau tidak gundah gulana kononnya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menjadi liabiliti kepada Kerajaan Perpaduan pada PRK Pulai, Loke berkata perbezaan pendapat tidak bererti berlaku pergaduhan.
Loke yang juga Setiausaha Agung DAP enggan mengulas lanjut perkara itu sebaliknya berkata paling penting adalah kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan berjalan lancar dan menyatakan fokusnya kini adalah perancangan pembangunan logistik di Johor termasuk Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link.
"Walaupun dalam hubungkan politik kadangkala ada isu timbul, ada perbezaan pendapat, itu perkara biasa. Tak apalah perbezaan pendapat tidak jadi masalah, kita tidaklah sampai gaduh, yang penting hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri berada dalam satu keadaan cukup baik.
"Kerajaan Johor ada hubungan rapat sebab kementerian ada banyak projek yang sedang dilaksanakan di Johor antaranya Pembinaan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru, RTS Link, ada Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).
"Selain itu ada Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) serta pelbagai perancangan untuk bangunkan lagi sektor logistik di Johor, ini sangat penting," katanya.
-- BERNAMA