PRK Mahkota: Tiada laporan kesalahan berkaitan 3R diterima setakat ini - Teo
Bernama
September 21, 2024 19:19 MYT
September 21, 2024 19:19 MYT
KULAI: Kementerian Komunikasi mengesahkan tidak menerima sebarang laporan berkaitan kesalahan isu 3R (kaum, agama, dan raja) sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota setakat ini.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berharap agar situasi yang positif ini dapat dikekalkan sehingga tamatnya tempoh kempen pilihan raya pada 11.59 malam, 27 Sept ini.
"Saya belum menerima aduan spesifik tentang kesalahan 3R setakat ini. Masing-masing mengadakan kempen secara baik dan saya berharap ia akan berterusan. Semua pihak diingatkan untuk terus menjaga adab.
"Tindakan provokasi semasa berkempen adalah sesuatu yang biasa, tetapi tiada isu-isu yang terlampau lagi (setakat ini)," katanya kepada pemberita selepas melawat Tapak Infrastruktur Komunikasi JENDELA fasa satu di Felda Inas di sini hari ini.
Teo, yang juga Ahli Parlimen Kulai turut mengingatkan semua pihak terlibat dalam PRK agar tidak menggunakan nama penyandang kerusi DUN Mahkota Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, sebagai bahan untuk berkempen.
"Ini kerana terdapat pihak yang menggunakan nama arwah. Walaupun ia tidak menyentuh isu 3R, kita perlu menjaga adab. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku demi menjaga perasaan dan sensitiviti waris," katanya.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada tindakan seorang ahli politik Perikatan Nasional (PN) yang didakwa memuat naik hantaran di Facebook mengenai penganjuran majlis tahlil untuk Sharifah Azizah, namun keluarga Allahyarham kemudiannya menafikan mempunyai pengetahuan tentang majlis itu.
PRK DUN Mahkota pada 28 Sept ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah dengan calon PN Mohamad Haizan Jaafar.
PRK itu diadakan susulan kematian Sharifah Azizah, 63, yang juga bekas Ketua Wanita UMNO Johor pada 2 Ogos lepas.
-- BERNAMA