PRK Mahkota: Pengundi awal tunai kewajipan hari ini

Bernama
September 23, 2024 07:15 MYT
Petugas SPR melakukan persiapan akhir sebelum proses pengundian awal yang melibatkan 401 pengundi di pusat pengundian bagi PRK DUN Mahkota, ketika tinjauan di Dewan Pengaman Zamrud, Taman Perumahan Polis, IPD Kluang, semalam. --fotoBERNAMA
KLUANG: Sebanyak 4,911 pengundi awal dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota akan menunaikan tanggungjawab mereka hari ini.
Daripada jumlah itu, 4,510 adalah tentera dan pasangan manakala bakinya ialah polis.
Proses pengundian berlangsung di tiga pusat mengundi awal iaitu Dewan Mahkota yang terletak dalam Kem Mahkota, Dewan Pengaman Zamrud Taman Perumahan Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sir Ibrahim.
Semua pusat mengundi dibuka mulai 8 pagi sebelum ditutup pada 5 petang.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca di bandar Kluang adalah baik pada pagi ini sebelum ribut petir dijangka melanda di sebelah petang.
PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah dan Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.
PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas.
DUN Mahkota yang terletak dalam Parlimen Kluang mempunyai keseluruhan 66,318 pengundi dengan 20 pusat mengundi akan dibuka pada Sabtu ini.
-- BERNAMA
#pilihan raya kecil #PRK Mahkota #DUN Mahkota #undi awal
;