PRK KKB: Warga emas lumpuh tekad keluar mengundi walau terpaksa diusung

Hasimi Muhamad
Mei 11, 2024 15:00 MYT
Zul membuang undi di pusat mengundi SMK Ampang Pechah pada PRK DUN Kuala Kubu Baharu tengah hari tadi. -Astro AWANI/Shahir Omar
HULU SELANGOR: Tidak berupaya berjalan dan hanya terlantar di atas katil tidak menghalang seorang warga emas untuk turut sama dalam pesta demokrasi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, hari ini.
Zul Majid, 63, yang lumpuh separuh badan terpaksa menggunakan khidmat ambulans swasta untuk ke pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ampang Pechah, di sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.
Zul yang ditemani isteri, Dalilah Abas, 61, berkata dia tidak mahu melepaskan peluang memilih wakil rakyat yang akan memperjuangkan kebajikan rakyat di kawasan berkenaan.
Biarpun pergerakannya terbatas, dia menyifatkan kewajipan keluar mengundi sebagai fardu ain.
“Saya mahu wakil rakyat yang dipilih nanti dapat menjaga rakyat. Soal agama bangsa jangan jadi pertikaian, yang penting berkhidmat sebaiknya untuk rakyat yang sudah memilih,” katanya kepada media, di sini, pada Sabtu.
Sementara itu, Dalilah berkata, suaminya lumpuh separuh badan sejak empat tahun lalu dan hanya boleh duduk dan baring sahaja di rumah.
“Dia tidak ada paksa pun, cuma kali ini dia berkobar-kobar hendak pergi mengundi dan sampai di sini ada petugas yang turut membantu, jadi ia memudahkan urusan," katanya.
Seramai 39,269 pengundi berdaftar akan melaksanakan tanggungjawab mengundi bagi memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan berkenaan.
Sebanyak 18 pusat pengundian melibatkan 74 saluran dibuka serentak bermula 8 pagi dan ditutup jam 6 petang.
PRK DUN Kuala Kubu Baharu yang menyaksikan pertandingan empat penjuru diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.
#pilihan raya kecil #Zul Majid #lumpuh separuh badan #PRK Kuala Kubu Baharu
;