PRK KKB: Persiapan hari pengundian berjalan lancar - SPR

Bernama
Mei 10, 2024 13:15 MYT
Seramai 39,362 pengundi akan menunaikan tanggungjawab untuk memilih wakil rakyat baharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) esok. --fotoBERNAMA
HULU SELANGOR: Persiapan bagi hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) esok berjalan lancar, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak.
Beliau yang ditemui ketika meninjau persiapan di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi iaitu di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor di sini berkata semua ketua tempat mengundi telah memberikan kerjasama yang baik bagi memastikan kelancaran.
"Setiap semakan yang dilakukan hari ini adalah bagi memastikan kesemua kelengkapan mengundi mencukupi. Petugas-petugas yang dilantik pejabat pengurus (PRK) juga semua berpengalaman dan diyakini mampu menyelesaikan apa-apa masalah yang timbul esok," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ikmalrudin turut menasihati pengundi untuk keluar menunaikan tanggungjawab mengikut masa yang ditetapkan bagi mengelakkan kesesakan dan cadangan masa mengundi boleh disemak di laman web mySPRsemak.
Kesemua 18 pusat mengundi yang mengandungi 74 tempat mengundi atau saluran, akan dibuka dari 8 pagi hingga 6 petang, kecuali pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bukit Fraser yang mempunyai 40 orang pengundi, ditutup pukul 2 petang.
PRK itu menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).
Ia diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, akibat kanser pada 21 Mac lepas.
-- BERNAMA
#PRK Kuala Kubu Baharu #SPR #Ikmalrudin Ishak #pusat mengundi
;