PRK KKB: Nga sedia beri kerjasama kepada SPR isu peruntukan
Bernama
Mei 3, 2024 22:26 MYT
Mei 3, 2024 22:26 MYT
TELUK INTAN: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming sedia memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung aduan mengenai pengumuman peruntukan berjumlah RM5.21 juta kepada Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).
Beliau berkata aduan Perikatan Nasional (PN) kepada SPR bahawa pengumuman dibuatnya menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu itu tidak sepatutnya dijadikan isu.
Naib Pengerusi DAP itu berkata tindakannya tidak menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan tiada kaitan langsung dengan PRK itu memandangkan peruntukan itu diumumkan sebelum hari penamaan calon dan bukan dalam tempoh kempen.
"Ini memang sah kerana waktu kita buat, penamaan calon belum lagi. Siapa calon saya pun tak tahu. Jadi, tak ada kaitan langsung," katanya.
Nga, yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan, berkata demikian ketika ditemui pemberita di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen Teluk Intan bersama Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Perak serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Dewan Bandaran di sini hari ini.
Beliau berkata peruntukan untuk menambah baik infrastruktur awam di bawah seliaan MPHS berkenaan diberikan bersempena Program Sentuhan Kasih yang dilaksanakan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
"Saya sepanjang masa menjelajah seluruh negara untuk melaksanakan Program Sentuhan Kasih KPKT, hari ini datang Teluk Intan ada umum (peruntukan untuk kawasan). Minggu lepas di Gerik pun saya umum.
"Cuma orang hendak sangka jahat itu dia tiada isu lain, saya nasihatkan fokus kepada isu bagaimana meningkatkan kualiti hidup rakyat dan kesejahteraan, membangunkan ekonomi rakyat," katanya.
Semalam, media tempatan melaporkan PN membuat aduan kepada SPR mengenai dakwaaan itu dan Ketua Pemudanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dilapor mendesak suruhanjaya berkenaan supaya mengambil tindakan kepada pihak yang melanggar peraturan pilihan raya.
Pada 18 April, Nga ketika mengadakan lawatan kerja bersempena Program Sentuhan Kasih KPKT ke Kuala Kubu Baharu, mengumumkan peruntukan itu bagi menambah baik infrastruktur awam di bawah seliaan MPHS dan Projek Kampung Baru Cina di kawasan itu.
Peruntukan tersebut meliputi 14 projek antaranya bernilai RM4.82 juta yang akan dilaksanakan oleh MPHS dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).
-- BERNAMA