PRK KKB: Larangan berpolitik di masjid, surau masih berkuat kuasa - JAIS
Bernama
April 30, 2024 23:20 MYT
April 30, 2024 23:20 MYT
SHAH ALAM: Semua penjawat awam Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) termasuk pegawai masjid dan surau, guru serta Penolong Pendaftar Perkahwinan diingatkan supaya mematuhi ketetapan dan arahan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang melarang masjid dan surau dijadikan tempat berpolitik.
Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata hal ini kerana larangan berkenaan seperti yang dititahkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini, masih berkuat kuasa.
Beliau berkata larangan itu turut termasuk sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) yang sedang berlangsung.
"Pegawai masjid, pentadbir surau dan ketua guru bertanggungjawab terhadap premis yang berada di bawah kawalannya dengan melaksanakan amanah ini dengan jujur dan ikhlas tanpa dipengaruhi oleh sebarang sentimen politik kepartian," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd Shahzihan berkata sekiranya tidak dipatuhi, mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 12 (a) dan (b) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 serta Peraturan-Peraturan Masjid dan Surau (Negeri Selangor) 2017.
"JAIS juga akan merujuk Garis Panduan Perlantikan, Penyambungan dan Penamatan Tauliah Pendaftar dan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, Dan Ruju' Orang Islam Negeri Selangor dan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Negeri Selangor (Kelakuan Dan Tatatertib) (Pindaan) 2006 bagi diambil tindakan," katanya.
-- BERNAMA
#larangan berpolitik di masjid
#PRK Kuala Kubu Baharu
#JAIS
#Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah