PRK KKB: Berkerusi roda, bertongkat demi pilih wakil rakyat
Hasimi Muhamad
Mei 11, 2024 10:30 MYT
Mei 11, 2024 10:30 MYT
HULU SELANGOR: Sekitar jam 7.50 pagi, Rosli Sarif, yang berkerusi roda automatik sudah tiba di Pusat Mengundi Sekolah Rendah Bandar Baru Batang Kali.
Biarpun berdepan kekangan dari segi fizikal, tetapi warga emas berusia 75 tahun ini menjadi pengundi pertama yang selesai menjalankan tanggungjawab bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.
Kerusi rodanya meluncur perlahan memasuki pusat pengundian selepas melakukan perjalanan 500 meter dari kediamannya.
“Pakcik dah kena (masalah) sakit pinggang ini lebih tujuh tahun dan merebak ke masalah jantung.
“Puncanya batu karang, dan selepas itu pakcik kena (serangan) jantung pula. Jantung dah masuk ‘stent’,” katanya ketika ditemui selepas selesai mengundi di sini hari ini.
Rosli berkata dia hadir seorang diri kerana isterinya ketika ini sedang dirawat di sebuah hospital akibat masalah kesihatan.
Seperti pengundi-pengundi lain, Rosli juga meletakkan harapan tinggi agar kawasan tersebut dapat diterajui oleh wakil rakyat berwibawa, sekali gus mengembalikan kestabilan politik.
“Kepada pengundi muda, pakcik nasihatkan fikir sebaiknya. Ibarat, ‘kita urut lidi penyapu, biar sampai ke hujungnya’.
“Sebab itu masa depan mereka sendiri. Jangan fikir diri sendiri, pentingkan untuk negara, bangsa dan tanah air,” nasihatnya.
Sementara itu, semangat sama turut ditunjukkan oleh seorang lagi pengundi, Rahim Ahmad, 61 tahun, yang hadir bertongkat ke pusat pengundian.
Bapa kepada dua cahaya mata itu mengalami masalah pada bahagian kaki kiri akibat kemalangan pada waktu kecil.
“Kaki sakit sudah lama. Kalau berjalan dekat, tak apa. Kalau jalan jauh, kena pakai tongkat.
“Saya sudah tiga tahun bertongkat. Puncanya kerana kemalangan masa kecil dan kesannya mula dirasai pada usia 40 tahun.
“Saya harapkan masalah di kawasan ini dapat diselesaikan seperti jalan, lampu di simpang. Malam banyak kemalangan di simpang empat (sebab gelap),” katanya yang ditemani isterinya, Noraini Ibrahim, 58 tahun.
Sementara itu, pesara, Mutusamy Karapanan, 61 tahun, berkata pengundi muda perlu menggunakan peluang untuk keluar mengundi bagi menjamin masa depan dan kestabilan negara.
“Memang kawasan Hulu Selangor ini baru datang (kecapi) pembangunan. Jadi kita mahukan kerajaan yang stabil.
“Ini boleh memberi peluang pekerjaan kepada budak-budak muda dan generasi yang datang untuk hidup dengan aman,” katanya.
PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).
Pilihan raya tersebut diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58 tahun, pada 21 Mac lepas akibat kanser.
Seramai 39,362 pengundi akan menunaikan tanggungjawab hari ini dengan 18 pusat mengundi dibuka dari jam 8 pagi hingga 6 petang, melibatkan 74 saluran.