PRK KKB: 32.51 peratus sudah mengundi setakat 12 tengah hari - SPR

Bernama
Mei 11, 2024 13:25 MYT
Pengundi beratur untuk mengundi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu di Pusat Mengundi SJKC Khing Ming, Hulu Selangor. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
HULU SELANGOR: Sebanyak 32.51 peratus pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) telah menunaikan tanggungjawab mereka setakat 12 tengah hari ini, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Kesemua 18 pusat mengundi yang mengandungi 74 tempat mengundi atau saluran dibuka pada 8 pagi tadi membolehkan 39,269 pengundi berdaftar melaksanakan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu.
Kesemua pusat pengundian berkenaan akan ditutup pada 6 petang ini, kecuali pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bukit Fraser yang mempunyai 40 pengundi, ditutup pada 2 petang.
SPR menyasarkan peratusan keluar mengundi PRK itu sekitar 60 peratus.
Proses penjumlahan undi akan berlangsung di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi iaitu di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor di sini dan keputusan rasmi dijangka diumumkan seawal 9 malam.
PRK itu menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).
-- BERNAMA
#PRK Kuala Kubu Baharu #Suruhanjaya Pilihan Raya #peratusan keluar mengundi #PRK DUN KKB
;