PRK Kimanis: Warisan didakwa beri "sumbangan" pada hari pertama kempen
Hasimi Muhamad
Januari 5, 2020 13:37 MYT
Januari 5, 2020 13:37 MYT
Tidak sampai 24 jam siri kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis bermula, timbul dakwaan bahawa Parti Warisan Sabah (Warisan) telah melanggar Akta Pilihan Raya.
Ia susulan parti kerajaan itu didakwa memberikan sekurang-kurangnya 50 buah motosikal dan barangan lain sebagai hadiah cabutan bertuah pada sambutan Krismas yang diadakan di Pekan Membakut, semalam.
Mengulas mengenai perkara itu, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin berkata pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung pemberian tersebut.
“Kita akan siasat perkara ini sekiranya benar mereka memberikan (hadiah ketika kempen bermula).
“Saya tidak mendapat maklumat penuh tentang soal pemberian motosikal (sebanyak) 50 buah dan apa (barangan lain) semua.
“Tetapi sekiranya benar ini adalah pemberian, kita akan bertindak dan kita akan buat laporan rasmi kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) kerana ini jelas melanggar peraturan pilihan raya,” katanya ketika ditemui, malam tadi.
Terdahulu, program sambutan Krismas yang dianjur oleh sebuah pertubuhan dikenali sebagai Masyarakat Kadazan Dusun Murut yang turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Kesalahan seperti memberi sumbangan dan jamuan sepanjang pilihan raya berlangsung boleh disiasat di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Pilihanraya 1954 (Pindaan 2012).