PRK Kemaman: Akaun FB palsu, calon BN lapor MCMC

Bernama
November 25, 2023 22:44 MYT
Calon BN, Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata akaun palsu berkenaan menggunakan gambarnya atas nama Raja Affandi, berbanding akaun rasminya yang menggunakan nama Raja Mohamed Affandi. - BERNAMA
CHUKAI: Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman yang memasuki "separuh masa kedua" hari ini dicemari dengan kemunculan akaun Facebook palsu calon Barisan Nasional (BN).
Calon BN, Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata akaun palsu berkenaan menggunakan gambarnya atas nama Raja Affandi, berbanding akaun rasminya yang menggunakan nama Raja Mohamed Affandi.
"Sekarang ini tular akaun Facebook palsu menggunakan nama dan gambar saya dengan macam-macam hantaran yang memaki dan tidak elok.
"Tidak pernah lagi keluar perkataan sebegitu daripada saya," kata bekas Panglima Angkatan Tentera itu ketika ditemui selepas menyantuni peniaga dan pengunjung Pasar Binjai di sini hari ini.
Susulan itu, katanya satu laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah dibuat untuk tindakan lanjut.
Raja Mohamed Affandi berkata beliau tidak mahu menuduh sesiapa sebagai dalang di sebalik perkara itu, namun menyeru pengguna media sosial supaya memastikan setiap maklumat yang diterima secara dalam talian itu benar-benar sahih.
Mengenai perjalanan kempennya yang masuk hari kelapan hari ini, beliau berkata perubahan positif dalam kalangan pengundi dapat dirasakan berdasarkan pertemuannya dengan mereka setakat ini.
"Selera pengundi nampaknya dah lain, dah berubah. Ada kematangan dalam berfikir, melihat apa yang perlu, apa yang wajib, apa yang harus dibuat.
"Saya lihat kita (BN) mempunyai kebarangkalian yang agak tinggi sekarang untuk meraih kemenangan, tetapi kita tak nak terlebih yakin dan perlu teruskan bekerja kuat," katanya.
PRK Parlimen Kemaman menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Raja Mohamed Affandi dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili PAS.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 2 Dis ini bagi hari mengundi untuk PRK Kemaman yang perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
-- BERNAMA
#PRK Kemaman #akaun FB palsu #Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor #Calon BN #MCMC
;