Sejak pusat mengundi dibuka 8 pagi tadi, keadaan cuaca cerah berterusan di seluruh Kemaman, walaupun sebelum ini Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan di beberapa kawasan di sini sepanjang hari.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata trend keluar mengundi pada PRK itu meningkat sekitar lapan peratus setiap jam dengan semua saluran menunjukkan momentum yang sama.
Beliau sebelum ini menyasarkan peratusan mengundi boleh mencapai hingga 70 peratus daripada keseluruhan 141,043 pengundi berdaftar, bergantung kepada keadaan cuaca.
Secara keseluruhan, sebanyak 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing pada PRK itu termasuk 387 anggota polis, enam anggota tentera dan tiga pasangan mereka serta 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
Semua anggota polis dan tentera yang layak mengundi awal telah menunaikan tanggungjawab masing-masing melalui undi pos sebelum ini manakala tiga pengundi yang merupakan pasangan tentera telah mengundi awal di Balai Polis Kijal, 28 Nov lepas.
PRK berkenaan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili PAS.
-- BERNAMA