PRK Kemaman 2 Disember - SPR

Umavathi Ramayah
Oktober 17, 2023 12:25 MYT
Abdul Ghani berkata hari pengundian awal ditetapkan pada 28 November ini. - Foto fail
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, Terengganu P040, pada 2 Disember depan.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, berkata hari penamaan calon pula ditetapkan pada 18 November, manakala hari pengundian awal (28 November).
"Tempoh berkempen 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 18 November ini sehingga pukul 11.59 malam 1 Disember," katanya pada sidang media di sini, pada Selasa.
Sementara itu, Abdul Ghani berkata, PRK Parlimen Kemaman memerlukan peruntukan sebanyak RM3.5 juta.
Beliau memberitahu, SPR melantik seorang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu tujuh Penolong Pegawai Pengurus bagi menjalankan proses pilihan raya manakala lima pasukan penguat kuasa ditubuhkan bagi memantau aktiviti kempen sepanjang PRK.
"Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) yang akan digunakan adalah di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman.
"Seramai 2,102 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK Kemaman, manakala sebanyak 49 pusat mengundi biasa yang mengandungi 244 saluran serta empat pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi empat tempat saluran awal akan digunakan,.
"Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 53 buah dengan 248 tempat mengundi/saluran," katanya.
Selain itu, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) akan digunakan adalah yang terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan setakat Ogos lalu yang dikemas kini pada 3 Oktober lalu.
Ia mengandungi seramai 141,790 pemilih yang terdiri daripada 141,382 pengundi biasa, 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan pasangan serta 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
"Pada PRK ini juga, SPR turut menawarkan kepada mana-mana agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau badan yang berminat untuk menjadi pemerhati pilihan raya dalam melihat perjalanan proses PRK ini bermula dari hari penamaan calon sehingga keputusan pilihan raya diumumkan.
"Mereka dibenarkan untuk membuat pemerhatian seperti di pusat penamaan calon, pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan pusat penjumlahan rasmi undi serta perlu mematuhi kesemua syarat-syarat pelantìkan yang telah ditetapkan.
"Maklumat lanjut dan borang permohonan untuk pemerhati boleh diperolehi daripada Portal Rasmi SPR www.spr.gov.my mulai hari ini, 17 Oktober ini (hari ini) dan tarikh tutup permohonan pada 26 Oktober ini," ujarnya.
Dalam pada itu, katanya urusan permohonan semua kategori undi pos bagi PRK ini dibuka bermula dari hari ini, dengan tarikh tutup permohonan adalah seperti berikut:
Pada 26 Sept lepas, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias Hamid yang mewakili Pas setelah pihak pempetisyen iaitu Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)
Pada 3 Oktober lalu, Pas memutuskan untuk tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen Parlimen Kemaman yang membatalkan kemenangan parti itu.
Pertembungan empat penjuru di Parlimen Kemaman sebelum ini menyaksikan Che Alias menang majoriti 27,179 undi dengan memperoleh keseluruhan 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said (BN) yang mendapat 38,535 undi.
Sementara itu, dua calon lain iaitu dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Rosli Ab Ghani mendapat 506 undi dan calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin (8,340 undi).
#Kemaman #PRK Kemaman #tarikh PRK #SPR
;