PRK Kajang: Seperti BN, laluan getir bakal ditempuhi Zaid

Irwan Muhammad Zain
Februari 17, 2014 13:28 MYT
Bekas Ketua Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Datuk Zaid Ibrahim sudah mengumumkan beliau akan bertanding sebagai calon bebas dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang. Ramai yang sangsi dengan keputusan Zaid tetapi (untuk bersangka baik) setidak-tidaknya beliau berani dan pengundi N.25 Kajang kini sudah mengetahui mereka ada pilihan lain selain Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk diundi pada 23 Mac nanti.
Tidak seperti Barisan Nasional (BN) yang masih lagi tidak membuat keputusan siapakah calon yang bakal bertanding atau membuat pendirian sama ada akan bertanding atau tidak, Zaid dengan alasan supaya Tan Sri Abdul Khalid terus kekal sebagai Menteri Besar Selangor, menawarkan diri kepada pengundi DUN Kajang untuk mereka memikirkan dalam tempoh lebih sebulan, apakah beliau layak untuk menjadi wakil rakyat mereka.
Namun biarpun sudah mengumumkan akan bertanding sebagai calon bebas tetapi peluang untuk Zaid tidaklah mudah. Bagi penganalisis politik, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berpendapat laluan getir bakal ditempuh Zaid kerana bakal bersaing dengan Anwar.
"Zaid mungkin boleh menarik sebahagian undi atas pagar dan undi protes yang akan pergi kepada Anwar dalam pilihan raya kecil Kajang nanti.
"Namun agak sukar untuk Zaid menyaingi Anwar atas beberapa sebab antaranya soal jentera kempen yang mana diketahui jentera kempen untuk Anwar sangat kuat berbanding Zaid.
"Zaid menyatakan sebab beliau mahu bertanding kerana mahu menyelamatkan (Tan Sri) Khalid Ibrahim tetapi ironinya Khalid mengetuai jentera kempen Anwar," katanya kepada Astro AWANI.
Mengulas mengenai BN, Dr Sivamurugan berpendapat parti itu tidak perlu menyertai pilihan raya kecil DUN Kajang kerana sebelum ini pernah membuat kenyataan tidak akan menyertai mana-mana pilihan raya kecil jika tidak ada alasan yang munasabah.
Dr Sivamurugan berkata, pilihan raya kecil DUN Kajang juga tidak mempunyai alasan yang munasabah untuk disertai oleh BN kerana kerusi tersebut dikosongkan kerana bekas ADUN Lee Chin Cheh meletak jawatan hanya untuk memberi peluang kepada Anwar.
"BN boleh bertanding jika mereka merasakan ada keperluan untuk menyertai pilihan raya kecil DUN Kajang dan yakin boleh menyaingi Anwar.
"Harus diingat BN perlu meletakkan calon yang benar-benar layak dan kempen yang akan dibawa nanti memerlukan isu yang melangkaui populariti Anwar," katanya.
BN menerusi parti komponen mereka, MCA telah membuka bilik gerakan bermula Ahad dan presidennya meminta supaya pengundi Kajang memberi peluang kepada mereka.
Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai menarik perhatian bahawa masyarakat di kawasan itu dibelenggu pelbagai masalah melibatkan antaranya jalan raya, lesen penjaja dan cukai pintu.
Sehubungan itu, beliau berkata anggota Jawatankuasa Tertinggi MCA dikehendaki datang ke DUN Kajang setiap hari bagi meninjau, memahami serta membantu menyelesaikan isu-isu yang sering dihadapi penduduk, sekali gus mengembalikan keyakinan mereka kepada parti itu.
#Anwar Ibrahim #BN #DUN Kajang #PKR #PRK #Zaid Ibrahim
;