PRK Kajang: Kalah tak apa tapi majoriti PKR turun, kata calon BN

Astro Awani
Mac 23, 2014 14:03 MYT
Calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, Datin Paduka Chew Mei Fun menerima kekalahan dengan hati yang terbuka.
Mei Fun berkata, biarpun tewas BN berjaya mengurangkan majoriti yang diperolehi PKR pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu.
Mei Fun tewas dengan majoriti 5,679 undi kepada calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, kurang 1,145 undi berbanding PRU13.
"Walaupun BN tidak berjaya dalam PRK Kajang ini, namun kami telah berjaya menurunkan majoriti, dan pada masa yang sama kami berjaya memperolehi peratusan undi Cina yang lebih tinggi dibandingkan dengan Pilihan Raya Umum tahun lalu, iaitu daripada 18% kepada 25%," katanya dalam satu kenyataan media yang diedarkan sejurus selepas keputusan rasmi diumumkan.
Beliau juga berharap Wan Azizah dapat menunaikan manifesto yang dijanjikan terutamanya dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk Kajang sekian lama.
Mei Fun dalam kenyataannya juga menegaskan selepas tewas, beliau akan memberi sepenuh tumpuan terhadap urusan parti bagi menjayakan program transformasi MCA.
Pada pilihan raya kecil DUN Kajang yang berlangsung pada Ahad, Mei Fun memperolehi 10,407 undi manakala Wan Azizah mendapat 16,086 undi.
Pilihan raya kecil DUN Kajang diadakan selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang, Lee Chin Cheh dari PKR meletakkan jawatan tanpa sebab pada 27 Januari lepas.
#BN #Chew Mei Fun #Dr Wan Azizah Wan Ismail #PKR #PRK Kajang