PRK Kajang bukan tiket Anwar jadi PM

Wan Syamsul Amly
Februari 24, 2014 18:46 MYT
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. --gambar arkib
Hasrat Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang tidak membuka jalan kepada Ketua Pembangkang itu untuk menjadi Perdana Menteri.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebaliknya berkata, ia merupakan penipuan pembangkang yang jelak membuktikan satu cara mereka membazirkan duit rakyat.
"Masa depan Selangor kini diperjudikan Anwar dengan pertembungan pemimpin PKR negeri. Paling sedih rakyat yang terpaksa menanggung kesannya.
"Anwar jelas ada cita-cita besar, nafsu besar dan sebenarnya perselisihan parti mereka ini boleh diselesaikan secara dalaman sahaja. Bukan dengan PRK,'' katanya.
Muhyiddin berkata demikian semasa sidang media sempena program Mesra Rakyat di laman futsal Surau Al-Falah Bukit Dukong di sini.
Turut hadir, Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Jalil, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan calon BN bagi PRK itu, Datin Paduka Chew Mei Fun.
Pada majlis sama, Muhyiddin mengumumkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar menjadi Pengarah PRK Kajang.
Tambahnya, BN akan memberi tentangan sengit walaupun disifatkan parti bukan pilihan pada PRK kali ini.
"Saya minta jentera parti bekerja bersungguh walau kita pembangkang di Selangor, kita 'underdog' tapi dengan semangat juang yang ada pada seluruh barisan pimpinan, kita boleh tentukan calon capai kejayaan,'' ujarnya.
Terdahulu, Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat khas BN bagi PRK DUN Kajang di Pejabat UMNO Hulu Langat.
Mesyuarat lebih sejam itu bertujuan membincangkan perancangan dan strategi parti bagi menghadapi PRK itu pada 23 Mac depan.
Muhyiddin kemudian melawat bekas anggota polis, Zoyah Bujang, 80, di Kampung Sungai Sekamat yang pernah berkhidmat sebagai prebet polis semasa zaman darurat pada 1948 hingga 1960.
##PRKKajang #Anwar Ibrahim #Barisan Nasional #BN #DUN #Kajang #Keadilan #Muhyiddin Yassin #PKR #PRK
;