PRK Kajang: Apa masalah utama penduduk?
Azyyati Ahmad
Februari 17, 2014 18:02 MYT
Februari 17, 2014 18:02 MYT
Kebanyakan orang Kajang yang ditemui Astro AWANI merasakan masalah utama yang mereka hadapi di Kajang adalah kesesakan lalulintas.
Kenderaan yang terlalu banyak dan keadaan jalan raya yang sempit antara penyebab kesesakan berlaku di sana.
Majuddin Mokhzani, 44, ketika dihubungi menyatakan kemasukan bas awam di pekan Kajang boleh menyebabkan kesesakan yang sedia ada menjadi lebih teruk.
Selain itu, Majuddin juga mahukan perkhidmatan di Hospital Kajang diperbaiki kerana terlalu sesak.
“Hospital Kajang terlalu penuh sehingga tidak cukup tempat untuk pesakit, seperti yang dialami oleh isteri saya ketika beliau hendak bersalin, ada yang terpaksa bersalin di koridor hospital kerana tak cukup bilik.
Selain itu bas awam tidak sepatutnya masuk ke pekan Kajang, itu hanya akan menambahkan kesesakan ketika mereka berhenti lama untuk menunggu penumpang naik,” katanya lagi.
Sementara itu, Dr Sulaiman Mohd Zin, 53 yang sempat ditemubual oleh wartawan Astro AWANI meluahkan masalah utama di Kajang adalah masalah banjir.
“Ini adalah masalah berulang, apabila banjir berlaku ia turut menyumbang kepada kesesakan” jelasnya kepada pemberita.
Manakala Faizul Mohd Ali, 28 berharap agar masalah jalan yang sempit di Kajang dapat diselesaikan.
“Keadaan yang sempit di sini menyebabkan ramai yang sukar mendapat parkir. Ramai yang terpaksa meletak kereta di bahu jalan.
“Selain itu, Kajang perlu perbanyakkan tempat riadah agar kami orang Kajang tak perlu ke Semenyih untuk beriadah” katanya lagi.
Bagi Nor Azima Roslan, 21, punya pendapat yang sama dengan Faizul iaitu tempat riadah perlu diperbanyakkan di Kajang.
Turut berpendapat sistem pungutan sampah di sana perlu diperbaiki agar kebersihan di Kajang dapat dipertingkatkan.
Rata-rata orang ramai yang ditemui Astro AWANI mahukan agar masalah- masalah ini diberi perhatian oleh wakil rakyat yang bakal terpilih pada Pilihan Raya Kecil 23 Mac ini.