PRK K. Besut: Anggota polis, tentera antara yang awal laksana tanggungjawab
Aizat Sharif
Julai 20, 2013 14:31 MYT
Julai 20, 2013 14:31 MYT
Seramai 1,148 anggota keselamatan mula membuang undi dalam pengundian awal untuk Pilihan Raya Kecil DUN Kuala Besut hari ini.
Dari jumlah tersebut, 14 adalah anggota polis dan selebihnya adalah anggota tentera. Proses pembuangan undi dilakukan di Dewan Serbaguna TUDM Gong Kedak dan para pengundi telah mula beratur sejak dari jam 8 pagi lagi iaitu ketika pusat pengundian mula dibuka.
Komander Pangkalan TUDM Gong Kedak, Kolonel Ashghar Khan antara yang tiba awal membuang undi pada jam 9.35 pagi.
Calon Pas, Azlan Yusof tiba pada jam 8.45 pagi untuk melawat dan beramah mesra dengan pengundi-pengundi yang berada di pusat membuang undi.
Pada jam 10 pagi tadi pula, calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman pula tiba untuk melihat perjalanan pengundian awal.
Kedua-dua calon terbabit melahirkan rasa berpuas hati dengan perjalanan proses pengundian awal setakat ini..
Sehingga jam, 10.40 pagi, difahamkan peratusan yang keluar mengundi hanyalah 30 peratus disebabkan sesetengah dari pengundi mempunyai tugasan di waktu pagi. Peratusan ini dijangka meningkat pada sebelah petang nanti sebelum pusat pengundian ditutup jam 5 petang.
Pengundian awal hari ini turut mencatatkan sejarah apabila buat pertama kalinya jari pengundi akan dicelup dengan dakwat kekal sebelum mereka boleh membuang undi dan ini berbeza dengan kaedah yang dilakukan ketika Pilihan Raya Umum lalu dimana setiap pengundi akan dicalit dengan dakwat kekal pada jarinya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang tiba di pusat pengundian untuk meninjau perjalanan proses pengundian berkata peratus keluar mengundi setakat jam 11.45 pagi tadi sudah pun mencapai 55 peratus.
"Kita sudah pun berbincang dengan pentadbiran kem ini supaya menguruskan pengundi-pengundi yang berdaftar untuk pengundian awal ini datang secara berperingkat-peringkat. Kita khuatir jika mereka datang serentak ianya akan menyebabkan keadaan di sini sesak dan mereka terpaksa menunggu lama untuk membuang undi," kata Wan Ahmad.
Dijangka pada sebelah petang, pasangan anggota keselamatan iaitu sebanyak 350 orang akan datang keluar mengundi.
"Dari 1,148 ini, kita jangka sekurang-kurangnya 95 peratus akan keluar mengundi pada hari ini. Terdapat beberapa anggota yang tidak membuang undi pada hari ini kerana berada di luar kawasan kerana menghadiri jemputan kursus dan sebagainya," kata beliau lagi.
PRK Kuala Besut diadakan berikutan kematian penyandangnya Dr A. Rahman Mokhtar, 55, meninggal dunia 26 Jun lalu akibat kanser paru-paru.
Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional, Tengku Zaihan Che Ku ABd Rahman dan calon PAS Endot@Azlan Yusof.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 24 Julai ini sebagai hari pengundian bagi 16,534 pemilih biasa.