PRK DUN Semenyih: Polis terima lima laporan
Afiezy Azaman
Mac 2, 2019 19:26 MYT
Mac 2, 2019 19:26 MYT
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima lima laporan sepanjang hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang berlangsung pada Sabtu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, kesemua laporan itu diterima daripada pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membabitkan beberapa kesalahan.
“Kesemua laporan dibuat oleh pegawai-pegawai SPR, ia melibatkan isu seperti barong panas, berkempen ketika hari mengundi dan isu pembuangan undi.
“Berkenaan dengan pergaduhan ataupun isu sentiment disebabkan penyokong parti-parti masih tiada laporan seperti itu setakat ini,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, pada Sabtu.
Sebanyak 24 pusat mengundi membabitkan 116 saluran dibuka dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang bagi membolehkan pengundi memilih wakil rakyat baharu dalam PRK DUN Semenyih.
Sejumlah 53,411 pengundi biasa layak berbuat demikian dalam PRK yang diadakan susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mewakili Pakatan Harapan (PH), pada 11 Januari lalu.
Mengulas lanjut, Ahmad Dzaffir berkata seramai 1,115 anggota dan pegawai polis ditempatkan di seluruh Kawasan Semenyih.
“Sepanjang menghadapi PRK kali ini, pihak polis telah berjaya menangani isu-isu panas sejak awal lagi dan berjaya mengawal keadaan bagi memastikan PRK kali ini berjalan dengan lancar.
Dalam perkembangan sama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) membuat laporan polis berhubung kesalahan dalam PRK DUN Semenyih.
Pengarah Eksekutifnya, Yap Swee Seng berkata, satu daripada kesalahan itu adalah membina pondok panas parti.
Katanya, kedua-dua parti dilihat terbabit dengan kesalahan itu iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
“Kami mempunyai bukti bergambar dan video. Bukti-bukti itu akan diserahkan kepada pihak polis," katanya.
PRK Semenyih menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Muhammad Aiman Zainali daripada PH, Zakaria Hanafi (Barisan Nasional), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng.
Ia adalah PRK keenam selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018, dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 September), Parlimen Port Dickson (13 Oktober) dan Parlimen Cameron Highlands (26 Januari).
#Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff
#Dewan Undangan Negeri
#Ketua Polis Daerah Kajang
#pilihan raya kecil
#PRK DUN Semenyih
#SPR
#Suruhanjaya Pilihan Raya