PRK DUN Nenggiri ditetapkan pada 17 Ogos

Umavathi Ramayah
Jun 28, 2024 12:15 MYT
Ramlan (kiri) mempengerusikan Mesyuarat Khas SPR bagi membincangkan urusan dan tarikh-tarikh penting PRK DUN Nenggiri, Kelantan di Putrajaya, hari ini. --fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.43, Nenggiri, Kelantan pada 17 Ogos depan.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon ditetapkan pada 3 Ogos manakala undi awal ditetapkan pada 13 Ogos.
“Sejumlah 20,259 pemilih terlibat dengan peruntukan kos kira-kira sebanyak RM1.6 juta,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas PRK berkenaan di sini hari ini.
Sementara itu, Ramlan memberitahu, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas hari penamaan calon sehingga pukul 11.59 malam, 16 Ogos ini.
Beliau memberitahu, bagi PRK Nenggiri, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) terkini dengan tambahan sehingga April lalu yang dikemaskini sehingga 18 Jun lalu akan digunakan.
Untuk maklumat lanjut mengenai pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan orang ramai boleh melakukan semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7218 atau melalui aplikasi MySPR Semak bermula 29 Julai ini
Sebelum ini, Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan bermula 19 Jun lalu.
Keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun lalu menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Ahli DUN (ADUN) Bersatu mengenai keahlian ADUN Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim yang hilang daripada parti itu.
Beliau adalah antara enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN Bersatu yang digugurkan keahliannya serta-merta selepas mereka gagal memberi sebarang jawapan berkaitan surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi parti untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.
Mereka ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).
Seorang lagi ialah ADUN Selat Klang Datuk Abdul Rashid Asari.
Ini adalah PRK ke-12 selepas Pilihan Raya Umum ke-15 iaitu selepas PRK Bugaya (Sabah), Tioman (Perak), Padang Serai (Kedah), Kuala Terengganu (Terengganu), DUN Simpang Jeram dan Pulai (Johor), Pelangai (Pahang), Jepak (Sarawak), Kemaman (Terengganu), Kuala Kubu Baharu (Selangor) dan Sungai Bakap (Pulau Pinang).
#Suruhanjaya Pilihan Raya #pilihan raya kecil #Bersatu #digugurkan keahlian
;