PRK DUN Mahkota: Wakil Kerajaan Perpaduan daripada BN - Ahmad Zahid

Bernama
Ogos 13, 2024 08:32 MYT
Ahmad Zahid bercakap pada sidang media selepas hadir mempengerusikan mesyuarat sekretariat majlis pembangunan usahawan dan PMKS (SEK-MPUPK) hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Calon Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota adalah daripada Barisan Nasional (BN), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Pengerusi BN berkata seperti kelaziman, parti yang menyandang kerusi DUN atau Parlimen terlibat akan ditandingi semula oleh parti berkenaan.
Ahmad Zahid berkata perincian lanjut akan dibincangkan dalam Biro Politik dan Majlis Tertinggi UMNO dan seterusnya keputusan itu dibawa ke Majlis Sekretariat Kerajaan Perpaduan.
"Kita tahu DUN Mahkota di kawasan agak berpotensi untuk kita (BN) terus menang dan tentunya kita mahu koordinasi dilakukan dengan semua parti dalam Kerajaan Perpaduan.
"Lazimnya persefahaman yang menjadi formula kepada Kerajaan Perpaduan ialah kerusi yang diwakili mana-mana parti harus ditandingi semula oleh parti tersebut," katanya dalam sidang media, hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Sekretariat Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS (Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana) Kebangsaan (SEK-MPUPK) di Ibu Pejabat Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp Malaysia).
Turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dan Timbalannya Datuk R. Ramanan, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia Rizal Nainy dan Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 Sept, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 Sept.
PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, yang meninggal dunia pada 2 Ogos ketika dirawat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.
Pada Pilihan Raya Negeri Johor Mac 2022, Sharifah Azizah yang juga calon BN memenangi kerusi DUN itu dengan majoriti 5,166 undi.
-- BERNAMA
#PRK DUN Mahkota #Zahid Hamidi #calon dari Barisan Nasional #Kerajaan Perpaduan