PRK DUN Mahkota: 53.84 peratus keluar mengundi - SPR

Bernama
September 28, 2024 00:16 MYT
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan bahawa peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota hari ini adalah 53.84. - Foto BERNAMA
KLUANG: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan bahawa peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota hari ini adalah 53.84.
Jumlah itu adalah rendah berbanding sasaran lebih 60 peratus yang dimaklumkan oleh Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun sebelum ini.
Ramlan, menerusi kenyataan malam ini, turut memaklumkan bahawa keterangan lanjut mengenai keputusan PRK DUN Mahkota boleh diperoleh di https://dashboard.spr.gov.my.
PRK hari ini menyaksikan BN mempertahan kerusi DUN Mahkota menerusi calonnya, Syed Hussien Syed Abdullah yang menang bergaya dengan majoriti besar 20,648 undi, jauh meninggalkan pencabar daripada Perikatan Nasional Mohamad Haizan Jaafar yang sekadar meraih 7,347 undi.
DUN Mahkota mempunyai 66,318 pengundi dengan 4,437 daripadanya adalah pengundi awal yang terdiri daripada anggota tentera dan pasangan serta polis selain 607 pengundi pos.
Proses pengundian hari ini berlangsung di 20 pusat mengundi manakala undi awal telah diadakan pada Selasa lepas dan kertas undi pos dikeluarkan pada 15 Sept.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas.
-- BERNAMA
#PRK Mahkota #peratus keluar mengundi #SPR #pilihan raya
;