PRK DUN Jepak: SPR terima pemakluman kekosongan, umum tarikh penting 25 Sept

Fahmi Izuddin
September 19, 2023 12:19 MYT
Kekosongan luar jangka kerusi DUN N.67 Jepak, Sarawak perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan kerusi tersebut. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah menerima pemakluman rasmi daripada Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nasar, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, berhubung dengan kekosongan luar jangka kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.67 Jepak, Sarawak.
Selaras dengan Artikel 21(5) Perlembagaan Negeri Sarawak memperuntukkan kekosongan luar jangka kerusi DUN N.67 Jepak, Sarawak, perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan kerusi tersebut.
“Sehubungan itu, SPR akan mengadakan satu Mesyuarat Khas Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN N.67 Jepak, Sarawak pada 25 September 2023 (Isnin),” ujar kenyataan itu.
Mesyuarat khas tersebut akan dipengerusikan pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh di mana tarikh-tarikh penting PRK seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut akan dibincangkan.
Satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat khas tersebut.
Kekosongan kerusi berkenaan susulan kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Talib Zulpilip.
Talib yang menyandang kerusi DUN berkenaan selama enam penggal meninggal dunia pada 15 september lalu akibat komplikasi kesihatan di Pusat Perubatan Normah di Kuching.
#Suruhanjaya Pilihan Raya #DUN Jepak #talib zulpilip #pemakluman kekosongan kerusi
;