PRK DUN Chini pada 4 Julai - Pengerusi SPR
Astro Awani
Mei 15, 2020 12:12 MYT
Mei 15, 2020 12:12 MYT
Pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini ditetapkan pada Sabtu, 4 Julai.
Tarikh penamaan calon ialah pada 20 Jun dan pengundian awal akan diadakan pada 30 Jun.
Perkata itu diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun hari ini.
Menurutnya, SPR akan memastikan proses PRK DUN Chini berjalan selari dengan arahan kerajaan bagi kawalan pencegahan COVID-19.
PRK tersebut diadakan susulan kematian Ahli DUN (ADUN) Chini dalam Parlimen Pekan, Pahang, iaitu Datuk Seri Abu Bakar Harun akibat serangan jantung pada 7 Mei lalu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Abu Bakar yang memperoleh 10,027 undi, menang dengan majoriti 4,622 undi menewaskan calon PAS, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang memperoleh 5,405 undi, dan calon PKR Mohamad Razali Ithnain yang mendapat 1,065 undi.
Azhar berkata, tempoh berkempen adalah selama 14 hari bermula selepas penamaan calon dan akan berlangsung sehingga pukul 11.59 malam pada 3 Julai.
Tarikh buka permohonan undi pos pengundi dalam dan luar negara pula adalah pada 15 Mei dan tarikh tutup pada 18 Jun.
"Anggaran kos bagi menjalankan PRK ini adalah berjumlah RM4.3 juta," katanya pada satu sidang media di Menara SPR, di sini, hari ini.
Menurutnya, SPR akan menggunakan Dewan Utama Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi.
Seramai 832 petugas akan mengendalikan proses pengundian semasa hari berkenaan dan Pegawai Daerah Pekan Datuk Zaliza Zulkipli dilantik sebagai Pegawai Pengurus PRK kali ini.
Sementara itu, Azhar berkata 14 pusat mengundi yang mengandungi 66 saluran akan digunakan pada PRK itu.
Pada masa sama, SPR turut menyediakan saluran khusus bagi pengundi berusia 60 tahun ke atas manakala pengundi berstatus Orang Kelainan Upaya pula akan mengundi di Saluran 1.
"Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan untuk PRK ini adalah Daftar Pemilih Induk 2019 yang dikemas kini sehingga 7 Mei 2020.
"Daftar Pemilih itu mengandungi 20,990 orang yang terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal polis," katanya.
Tambahnya, SPR mensasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi.
Mulai 3 Jun, kata Azhar, pengundi boleh membuat semakan Daftar Pemilih untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui laman portal SPR (www.spr.gov.my), atau menelefon ke talian 03-88927018, atau melalui SMS 15888 atau melalui aplikasi MySPR Semak.
Mengenai proses penamaan calon, beliau berkata calon-calon digalakkan mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Pahang sebelum Hari Penamaan Calon.
Bakal-bakal calon dicadangkan membuat pembayaran deposit secara dalam talian lebih awal bertujuan memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar, katanya.
#ADUN
#Azhar Azizan Harun
#Barisan Nasional
#COVID-19
#DUN Chini
#Pahang
#penamaan calon
#pilihan raya kecil
#PRK
#PRK DUN Chini
#SPR
#Suruhanjaya Pilihan Raya
#undi awal