PRK DUN Ayer Kuning: Ahmad Zahid harap SPR ambil kira Ramadan
Bernama
Februari 23, 2025 22:15 MYT
Februari 23, 2025 22:15 MYT
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata bagi UMNO dan Barisan Nasional (BN) pihaknya berpendapat tidak perlu tergesa-gesa mengadakan pilihan raya kecil itu memandangkan ketibaan Ramadan. - Gambar fail/BERNAMA
TAWAU: Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil kira bulan Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi dalam menentukan tarikh pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata bagi UMNO dan Barisan Nasional (BN) pihaknya berpendapat tidak perlu tergesa-gesa mengadakan pilihan raya kecil itu memandangkan ketibaan Ramadan.
"Kami tidak berasa tergesa-gesa untuk melakukannya (pilihan raya) oleh kerana Ramadan terlalu hampir tentu kita harap tarikh yang akan dipilih SPR ini satu tarikh yang dapat disesuaikan dengan keadaan bulan Ramadan dan kita serah kepada SPR," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun UMNO Sabah ke-34 di sini, hari ini, sebagai mengulas kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning susulan kematian ADUN kawasan itu Ishsham Shahruddin daripada UMNO.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 59 tahun setelah tidak sedarkan diri selepas perlawanan bola sepak persahabatan di Stadium Bandaraya di Pulau Pinang petang semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata Ishsam rebah semasa bersalaman dengan pemain lain di tepi padang pada Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru Piala Ketua Menteri Pulau Pinang di stadium itu.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata beliau akan menziarahi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dimasukkan ke hospital selepas tidak sedarkan diri pada awal pagi Sabtu lepas secepat mungkin.
"Saya mendapat tahu semalam dan saya tidak ada kesempatan sehingga malam tadi kerana ada acara, hari ini saya berada di Tawau dan esok di Kota Kinabalu, saya akan menziarahi beliau (Ismail Sabri) secepat mungkin," katanya.
Dalam lawatan kerja sehari Ahmad Zahid di Tawau hari ini, beliau turut menyempurnakan penutupan Program Sentuhan Kasih Desa@Tawau 2025 anjuran kementeriannya selain merasmikan Pejabat UMNO Bahagian Kalabakan.
-- BERNAMA
#PRK DUN Ayer Kuning
#Suruhanjaya Pilihan Raya
#Ahmad Zahid Hamidi
#Ishsham Shahruddin
#pilihan raya kecil
#Ramadan