PRK Chini: Rumah mampu milik generasi kedua keperluan utama penduduk
Fareez Azman
Jun 25, 2020 17:34 MYT
Jun 25, 2020 17:34 MYT
Pilihan Raya Kecil (PRK) N23 Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini terus hangat pada hari keenam kempen.
Isu rakyat terutama pembinaan rumah mampu milik bagi generasi kedua antara yang ditagih oleh penduduk di Felda itu.
Menurut Penduduk Felda Chini 3, Arazami Din, 50, isu perumahan mampu milik perlu diambil perhatian oleh wakil rakyat yang bakal dipilih pada 4 Julai depan.
Meskipun terdapat perumahan mampu milik yang dibina sebelum ini, namun ia tidak mencukupi kepada generasi kedua di DUN itu.
"Saya mengharapkan isu penempatan perlu diperbanyakkan lagi memandangkan ramai penduduk anak-anak generasi kedua memerlukan rumah.
"Saya mengharapkan boleh menyelesaikan rumah mampu kita milik bukan rumah mampu kita lihat, pendapatan penduduk di sini bukan terlalu tinggi jadi kita di sini bermasalah bila hendak beli rumah," katanya.
Tambah Arazami, mereka mahukan rumah yang mampu milik itu dalam lingkungan harga bawah RM40,000.
"Kita faham juga hartanah sekarang harganya naik. Tetapi kami nak yang harga fleksibel, memang banyak sangat generasi kedua tidak ada rumah, ada antara mereka menyewa, dan tinggal dengan keluarga. Itu masalah pada kami. Satu rumah ramai pun masalah," jelas Arazami.
Luahan sama turut disuarakan Norzita Said, 52, yang menginginkan agar lebih banyak perumahan dapat diwujudkan di sekitar DUN itu.
"Wakil rakyat yang bakal kami pilih nanti selain wujudkan peluang pekerjaan generasi kedua, tempat tinggal yang penting rumah tidak cukup.
"Saya duduk Chini ini memang tidak cukup maknanya generasi kedua kekurangan tempat tinggal di seluruh Chini," katanya.
Pemerhatian Astro AWANI mendapati terdapat beberapa kawasan perumahan mampu milik telah dibina sebelum ini.
Namun bilangannya dilihat tidak mencukupi dengan bilangan generasi kedua di seluruh DUN itu.
#Astro Awani
#Chini Memilih
#DUN Chini
#Felda
#kempen
#Keperluan
#perumahan
#pilihan raya
#pilihan raya kecil
#PRK N23
#rakyat
#rumah mampu milik