PRK Chini bantu ekonomi penduduk tempatan
Bernama
Julai 2, 2020 09:04 MYT
Julai 2, 2020 09:04 MYT
Kehadiran ramai orang ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini sejak berjalannya kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu dalam tempoh kira-kira dua minggu kebelakangan ini umpama rahmat buat penduduk tempatan.
Kehadiran orang luar terutama petugas parti, anggota keselamatan dan media, selain PRK kali ini turut disertai petugas yang berkaitan isu kesihatan sebagai langkah berhati-hati dengan ancaman COVID-19, memberikan kelegaan terutama kepada peniaga yang kembali bernafas setelah sekian lama terpaksa 'menutup' operasi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lepas.
Dengan PRK berjalan dalam tempoh PKP Pemulihan (PKPP) yang membolehkan sebahagian besar perniagaan kembali beroperasi, peniaga di sekitar kawasan Chini memperoleh keuntungan melebihi hari-hari biasa sebelum PKP.
Ada antara mereka yang memperolehi peningkatan keuntungan sehingga sekali ganda, berikut ramai 'orang luar' yang berkampung di kawasan DUN Chini ini sepanjang berlangsungnya PRK ini dan membeli serta menggunakan perkhidmatan mereka.
Pengusaha rumah penginapan Notul Azura Jamaludin, 43, berkata tiga unit kediaman miliknya, yang didirikan di dalam kawasan rumahnya di Bandar Dara Chini dekat sini telah habis ditempah bermula pada hari penamaan calon sehingga hari pengundian bagi PRK DUN Chini Sabtu ini.
"Amat jarang sekali rumah penginapan saya ditempah bagi tempoh panjang seperti ketika berlangsungnya PRK ini, sebelum ini paling lama pun tiga hingga lima hari. Saya menganggap ini ialah rezeki bagi penduduk di sini, di mana ini ialah kali pertama PRK berlangsung di DUN ini," katanya kepada Bernama.
Pengusaha rumah penginapan jelas merupakan antara yang banyak mendapat manfaat daripada PRK DUN Chini, dan dengan rumah penginapan sedia ada tidak mampu menampung permintaan, ada rumah peneroka yang tidak lagi dihuni turut "berubah" menjadi rumah penginapan.
Sementara itu, pengusaha kedai dobi Latifah Awang, 59, berkata PRK DUN Chini, yang bermula pada hari penamaan calon pada 20 Jun lalu, seolah-olah memberi peluang kepada perniagaan kembali bernafas selepas melalui penurunan pendapatan ketika tempoh PKP.
Katanya kedai dobi yang terletak di Felda Chini 4, menggunakan kapasiti maksimum bagi mencuci pakaian yang diterima daripada pelanggan sejak bermulanya PRK DUN Chini dengan beliau terus mengekalkan harga RM3.50 bagi sekilogram pakaian.
"Memang berlaku peningkatan pendapatan ketika PRK ini berikutan semakin ramai pelanggan yang menghantar pakaian mereka untuk dibasuh di dobi miliknya. Sejak PRK ini, setiap hari saya menggunakan kapasiti maksimum sedangkan pada hari-hari biasa amat jarang saya membasuh pakaian dalam jumlah itu dalam sehari," katanya.
Pemilik kedai serbaneka di Chini 3, Mohd Khairy Barderin, 28, berkata pendapatannya meningkat sekali ganda sejak PRK DUN Chini, dengan semakin ramai pelanggan dari luar kawasan Chini mengunjungi kedainya.
Katanya kebanyakan daripada mereka datang ke kedainya bagi mendapatkan air mineral, makanan segera dan tambah nilai bagi telefon bimbit.
"Hasil jualan meningkat dan saya mendapati mereka yang datang ke kedai saya tidak pernah saya kenali pun sebelum ini walaupun saya sudah tinggal di sini sejak lahir.Mungkin mereka bertugas semasa PRK ini atau mungkin mereka pengundi di DUN ini yang tinggal di luar dan mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung," katanya.
Selain itu, peniaga lain seperti pengusaha kereta sewa, restoran dan gerai buah-buahan turut merasai tempias PRK ini dengan mencatatkan peningkatan dalam pendapatan mereka.
PRK DUN Chini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain, 41, dan dua calon Bebas Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.
-- BERNAMA
#Chini Memilih
#COVID-19
#DUN Chini
#ekonomi
#kedai
#kempen
#keuntungan
#pendapatan
#peniaga
#peningkatan
#PKP
#PRK Chini
#PRK DUN Chini
#restoran
#rumah penginapan
#tutup operasi