PRK Cameron Highlands: PDRM tingkat jumlah anggota, tangani kesesakan trafik

Harits Asyraf Hasnan
Januari 10, 2019 18:55 MYT
Antara isu yang menjadi fokus termasuklah aliran trafik di Cameron Highlands. -Gambar fail
Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meningkatkan jumlah pegawai dan anggota sepanjang sebelum dan semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata antara isu yang menjadi fokus termasuklah aliran trafik di Cameron Highlands.
"Kita akan letakkan pegawai dan anggota yang mencukupi di Cameron Highlands dan kita menjangkakan PRK itu dapat dijalankan dengan baik.
"Satu isu yang kita nampak di Cameron Highlands adalah isu trafik. Kita pun telah pun menambah pegawai dan anggota trafik untuk pastikan kelancaran trafik di Cameron Highlands berjalan dengan lancar dan baik," katanya pada sidang media di Maktab PDRM di sini hari ini.
Pada pilihan raya umum lalu, Naib Presiden MIC C.Sivarraajh memenangi kerusi itu dalam pertandingan lima penjuru, mengatasi M Manogaran dari DAP dengan kelebihan kira-kira 600 undi.
November lalu, Mahkamah Pilihan Raya membatalkan keputusan itu atas alasan berlaku amalan rasuah dan memutuskan pilihan raya perlu diadakan semula.
Pakatan Harapan telah menamakan Manogaran sebagai calonnya manakala Presiden MyPPP, Tan Sri M Kayveas turut menawarkan diri sebagai calon.
Penamaan calon PRK Cameron Highlands akan diadakan pada 12 Januari dan pengundian pada 26 Januari ini.
#C Sivarraajh #M Kayveas #M Manogaran #Malaysia Baharu #Noor Rashid Ibrahim #Pakatan Harapan #pilihan raya #Polis Diraja Malaysia #PRK Cameron Highlands
;