PRK Bukit Gelugor: Ramkarpal Singh dipilih calon DAP

Astro Awani
Mei 10, 2014 14:22 MYT
Ramkarpal Singh dipilih calon DAP
DAP menamakan anak ketiga mendiang Karpal Singh, Ramkarpal Singh sebagai calon mewakili Pakatan Rakyat untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gelugor pada 25 Mei nanti.
Pengumuman itu dibuat oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam pada majlsi pelancaran Pusat Operasi Pilihan Raya Kecil Bukit Gelugor.
Keputusan memilih Ramkarpal dibuat oleh Jawatankuasa Pemilihan Calon DAP yang dipengerusikan oleh Lim Guan Eng.
"Ramkarpal merupakan calon paling sesau dan layak untuk dinamakan sebagai calon DAP dan Pakatan Rakyat," katanya.
Turut hadir di majlis itu, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan beberapa pimpinan Pakatan Rakyat yang lain.
Ramkarpal, 38, merupakan seorang peguam lulusan Universiti Bristol, United Kingdom.
Sehingga kini, Barisan Nasional belum membuat pendirian sama ada mahu bertanding atau tidak dalam pilihan raya kecil itu nanti.
Pada Jumaat, Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Datuk Huan Cheng Guan mengumumkan yang beliau akan bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor.
Manakala seorang ahli PAS, Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Sathar, menyuarakan hasratnya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu.
Sebelum ini, aktivis Pakatan Rakyat, Hishamuddin Rais dalam satu forum mencadangkan supaya Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dinamakan sebagi calon Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil yang diadakan berikutan kematian penyadangnya, Karpal Singh akibat nahas jalan raya.
Suruhanjaya Pilihan Raya telah menyatakan penamaan calon ditetapkan pada 12 Mei dan hari pengundian pada 25 Mei. Hari pengundian awal ditetapkan pada 21 Mei.
Bekas Pengerusi DAP itu memenangi kerusi tersebut pada pilihan raya umum 2013 dengan majoriti 42,706 undi, menewaskan calon BN Teh Beng Yeam yang memperoleh 13,597 undi.
#Bukit Gelugor #DAP #Lim Guan Eng #Ramkarpal Singh
;