PRK Bukit Gelugor: Faktor Karpal sukarkan MCA untuk menang

Haider Yutim
Mei 4, 2014 07:14 MYT
Gobind Singh Deo berucap pada program memperingati Karpal Singh
Faktor simpati terhadap mendiang Karpal Singh dan keluarganya merupakan antara faktor yang menyukarkan MCA untuk memenangi pilihan raya kecil (PRK) parlimen Bukit Gelugor yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Demikian menurut pandangan beberapa pemimpin parti itu ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.
Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon berkata isu Karpal Singh adalah isu besar yang dimainkan oleh DAP, dan jika calon yang diketengahkan itu merupakan anak Karpal, peluang MCA amat tipis.
"Isu Karpal telah menyelubungi semua isu. Jika mereka ketengahkan anak-anak Karpal, ia akan jadi sukar untuk kami (MCA)," kata beliau.
Bagaimanapun beliau berpendapat, calon yang sesuai untuk diketengahkan haruslah calon yang muda dan baru, serta mampu berkomunikasi dan berdebat dengan baik di Parlimen.
Jelasnya, ini kerana MCA harus lari dari imej 'dikongkong' oleh orang lama di mana parti itu perlu menerima suntikan serta idea-idea yang baru dari golongan generasi baru.
"Jika kita ketengahkan calon yang terkenal sekali pun ia mungkin tidak akan berjaya menawan kerusi tersebut," katanya.
Bagi Pengerusi Biro Agama MCA, Datuk Ti Lian Ker, sentimen simpati masyarakat terhadap tokoh veteran dan juga bekas Pengerusi DAP boleh mempengaruhi keputusan PRK tersebut.
"Jika pengundi mengundi berdasarkan sentimen, sesiapa pun (calon Barisan Nasional) yang kita ketengahkan tidak akan memberikan apa-apa makna," kata beliau
Bagi Ketua Pemuda MCA Bangsar, Chris Wong pula, katanya faktor Karpal Singh memainkan peranan yang besar terhadap PRK tersebut kerana masyarakat melihatnya sebagai 'wira negara'.
"Rakyat dan masyarakat melihatnya sebagai wira negara dan semestinya mereka akan mengundi DAP di Bukit Gelugor," kata beliau.
Selain itu, beliau juga berkata Barisan Nasional (BN) perlu menyelesaikan isu hudud dan juga ketirisan dalam Laporan Ketua Audit Negara untuk memenangi semula hari masyarakat.
Sementara itu, Pengerusi Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kie berkata MCA masih mempunyai peluang sekiranya calon yang diketengahkan itu seorang yang berjiwa rakyat dan sentiasa bersedia untuk berkhidmat kepada rakyat.
Katanya, calon yang dipilih mestilah mampu melaksanakan segala tanggungjawab yang diberikan oleh kawasannya.
"Calon tersebut mestilah mampu melaksanakan tanggungjawabnya serta mampu membawa suara rakyat," kata Heng lagi.
Pada Sabtu, MCA telah menyenaraikan pendek tiga nama calon untuk pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gelugor 25 Mei ini.
Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, senarai nama itu akan dikemukakan kepada pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dipertimbangkan.
Beliau berkata, kesemua calon yang disenarai pendek itu adalah calon anak tempatan dan beliau yakin salah seorang daripada mereka akan dipilih sebagai wakil Barisan Nasional.
Liow berkata, biarpun pada pilihanraya umum ke 13 lalu, MCA kalah di Bukit Gelugor, namun parti itu masih terus menjalankan tanggungjawab dan sentiasa komited berkhidmat untuk rakyat di kawasan itu.
Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata MCA perlu melakukan pemutihan ke atas senarai ahlinya bagi membolehkan parti itu mengukur kekuatan sebenarnya.
Beliau percaya langkah itu penting kerana ia dapat membantu MCA merangka inisiatif lebih berkesan bagi meningkatkan sokongan terpadap parti itu.
Najib telah menghadiri majlis Perhimpunan Perpaduan MCA dan Pelancaran Kempen "Teguh Bersama" di Kuala Lumpur.
Perdana Menteri pada masa sama mengalu-alukan kesediaan MCA untuk menyertai semula kabinet.
Katanya, kerajaan memerlukan input serta sokongan MCA bagi memastikan setiap dasar yang digubal menepati aspirasi rakyat Malaysia.
#Bukit Gelugor #Chong Sin Woon #Chris Wong #Heng Seai Kie #Karpal Singh #MCA #ti lian ker
;