PRK Bugaya: Bung Moktar jangka SPR umum tarikh penting dua minggu lagi

Syah Hairizal Kamalul Arifin
Januari 24, 2022 16:37 MYT
Bung Moktar berkata UMNO Sabah sedang menunggu keputusan SPR berhubung PRK DUN Bugaya. - Astro AWANI
KOTA KINABALU: Keputusan bagi mengadakan pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya dijangka diketahui dalam tempoh dua minggu lagi.
Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata pihaknya sudah memohon pelaksanaan PRK berkenaan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan sedang menunggu keputusannya.
“Kita memang ada minta cuma bergantung dengan laporan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Saya yakin insya Allah dalam seminggu dua ini akan kita tahulah," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Warga Asing Negeri Sabah di Kota Kinabalu pada Isnin.
Kerusi DUN Bugaya kosong setelah penyandangnya, Manis Muka Mohd. Darah meninggal dunia pada 17 November 2020.
PRK Bugaya ditangguhkan sejak Januari tahun lepas susulan pengisytiharan darurat.
Ditanya sama ada UMNO Sabah bakal membantu UMNO Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Bung Moktar berkata pihaknya akan meneliti perkara berkenaan.
Beliau pada masa sama mengesahkan telah menerima surat daripada UMNO pusat dan UMNO Johor yang meminta bantuan UMNO Sabah.
Mengulas mengenai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang belum didaftarkan, Bung Moktar berkata ia tidak akan memberi sebarang impak kepada gabungan tersebut.
“Saya melihat GRS ini sama ada didaftar atau tidak ia tidak mendatangkan apa-apa impak kepada mana-mana pihak sebab GRS ini cuma platform sebuah kerajaan.
“Perkara ini akan dibincang dengan pemimpin-pemimpin GRS, apa intipatinya dan bagaimana penyelarasan apabila didaftar nanti kita belum ada mesyuarat,” ujarnya.
Sebelum ini, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Fairuz Renddan berkata GRS adalah sebuah gabungan terdiri daripada komponen parti untuk menubuhkan kerajaan yang mampu menstabilkan politik tempatan di negeri ini.
Fairuz memaklumkan GRS akan lebih kukuh jika gabungan ini dapat didaftarkan sebagai entiti parti sekaligus menjadikan ia sebagai lambang identiti rakyat Sabah.
#Dewan Undangan Negeri DUN Bugaya #pilihan raya kecil #Suruhanjaya Pilihan Raya #Datuk Seri Bung Moktar Radin
;