PRK Batu Sapi boleh dibatalkan jika isytihar darurat - ERC

Rahimah Abdullah
Oktober 12, 2020 14:43 MYT
Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman berkata, pengisytiharan darurat perlu dilakukan kerajaan negeri atau Persekutuan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi hanya boleh dibatalkan jika darurat diisytihar di Negeri Sabah susulan pandemik COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC), Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman berkata, pengisytiharan darurat perlu dilakukan kerajaan negeri atau Persekutuan.
"Kita mempunyai satu bentuk wabak sana, dan wabak ini pun tidak boleh dijadikan begitu sahaja iaitu sebab membatalkan pilihanraya itu.
"Pilihan raya boleh dibatalkan apabila ada darurat apabila ada deklarasi darurat dilakukan sama ada pihak negeri atau pihak persekutuan," katanya semasa dihubungi Astro AWANI, pada Isnin.
BACA: SPR bermesyuarat Selasa depan, bincang tarikh PRK Batu Sapi, Sabah
Menurut Ab Rashid, situasi pengisytiharan darurat yang menyekat sebarang aktiviti pernah dilaksanakan di Sarawak.
"Kalau misalnya seluruh negeri Sabah diisytihar darurat dan sebarang aktiviti tidak boleh dilakukan, ini pernah berlaku di Sarawak pada masa dulu.
"Namun sama ada wabak yang berlaku ini boleh dijadikan alasan untuk isytihar darurat tak tahu. Banyak permasalahan kalau isytihar darurat ini," ujarnya lagi.
Katanya, SPR perlu mengikut ketentuan perlembagaan negara dan negeri yang sudah termaktub dengan mengisi kekosongan kerusi pilihan raya.
"Satu lagi pujuk semua pihak supaya tidak bertanding dan pakat-pakat, parti kena bincang dan kerajaan boleh urus ya seperti memberi menang tanpa bertanding. Mungkin boleh beri parti menang dulu calon satu orang dan orang lain tak usah bertanding," ujarnya.
SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas pada 13 Oktober bagi membincangkan tarikh-tarikh penting PRK Parlimen Batu Sapi.
#Suruhanjaya Pilihan Raya #COVID-19 #PRK Batu Sapi #Pilihan Raya Kecil Batu Sapi #Sarawak #Ab Rashid Ab Rahman #Batu Sapi Memilih
;