PRK Batu Sapi: Beri laluan secara 'gentleman' kepada Warisan - Penganalisis
Rahimah Abdullah
November 2, 2020 10:45 MYT
November 2, 2020 10:45 MYT
KUALA LUMPUR: Semua parti politik perlu memberi laluan secara 'gentleman' kepada Parti Warisan Sabah (Warisan) bagi bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi tanpa dicabar.
Pensyarah Pengajian Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM, Mujibu Abd Muis berkata persetujuan secara konsensus itu mampu meredakan ketegangan politik serta mengurangkan penularan jangkitan COVID-19 di Sabah.
Menurutnya, tindakan memberi laluan kepada Warisan mampu menyelamatkan keadaan penduduk di Batu Sapi, Sandakan yang sememangnya dikategorikan sebagai zon merah.
Jelas Mujibu lagi, tindakan itu wajar bagi mengambil pengajaran selepas pilihan raya negeri (PRN) Sabah.
"Memang konsensus itu diperlukan. Apatah lagi dalam keadaan sekarang, politik memerlukan kerjasama dan perlu ada sesuatu dilakukan (berkenaan) suhu politik yang membahang sekarang ini.
"Barangkali memberikan laluan secara gentleman kepada penyandang di Batu Sapi, iaitu tidak dicabar.
"Barangkali satu tindakan yang baik perlu dilakukan bukan sahaja untuk meredakan suhu politik, malah mengurangkan penularan COVID-19 di Batu Sapi," katanya kepada Astro AWANI melalui Skype hari ini.
Tambahnya, Batu Sapi merupakan kawasan di zon merah dan sudah tentu tindakan itu mampu menyelamatkan keadaan di Sabah.
PRK Batu Sapi ditetapkan pada 5 Dis ini dengan hari penamaan calon pada 23 Nov dan pengundian awal pada 1 Dis.
Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya Liew Vui Keong pada 2 Okt dipercayai akibat jangkitan paru-paru.
PRK Batu Sapi adalah pilihan raya kecil ke-13 selepas pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei 2018.
Sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga berkata, PRK Batu Sapi dan PRN Sarawak boleh ditangguh jika darurat diisytiharkan di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.
#Mujibu Abd Muis
#PRK Batu Sapi
#pilihan raya kecil
#politik
#COVID-19
#parti politik
#beri laluan
#Gentleman
#Parti Warisan Sabah
#Warisan
#pensyarah UiTM
#ketegangan
#zon merah
#Sandakan
#darurat
#konsensus
#PRN Sarawak