PRK Balingian: Proses penamaan lancar tanpa insiden

Astro Awani
Mac 17, 2014 16:43 MYT
Calon BN PRK DUN Balingian, Yossibnosh Balo (kanan) bersama calon PKR Abdul Jalil Bujang selepas diumumkan secara rasmi sebagai calon pada penamaan calon di Dewan Suarah Mesra, Mukah. -- fotoBERNAMA
Proses penamaan calon pilihan raya kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.51 Balingian yang berlangsung hari ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden dan gangguan.
Proses penamaan calon bermula 9 pagi dan tamat pada 10 pagi di Dewan Suarah Mesra, Mukah.
Calon BN, Yussibnosh Balo 48, tiba di pusat penamaan calon pada pukul 8.55 pagi diiringi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Calon PKR Abdul Jalil Bujang, 55, tiba di pusat penamaan calon pada 9.07 pagi diiringi Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, Ketua Angkatan Muda Keadilan Samsul Iskandar Mohd Akin dan pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian.
Yussibnosh menyerahkan borang pencalonan pegawai pengurus SPR, Shafrie Saili pada 9.03 pagi dengan Ardyman Matan sebagai pencadang dan Fauziah Adeni sebagai penyokong.
Calon PKR sementara itu menyerahkan borang pencalonannya pada 9.14 pagi selepas dicadangkan Matek Geram dan disokong Basri Bahari.
Tepat pukul 10 pagi, pegawai pengurus SPR mengumumkan dua pencalonan dibuat sekali gus menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara BN dan PKR.
Kira-kira 1,000 penyokong BN dan 200 penyokong PKR hadir memberi sokongan kepada calon masing-masing.
#ADUN #Balingian #BN #PKR #PRK DUN Balingian #Sarawak
;