PRK: 11 laporan polis sepanjang tiga hari kempen PRK Parlimen Pulai

Bernama
Ogos 29, 2023 14:04 MYT
Kamarul Zaman berkata laporan itu melibatkan daerah Johor Bahru Utara, Johor Bahru Selatan dan Iskandar Puteri. - Gambar fail/Bernama
MUAR: Sebanyak 11 laporan polis diterima sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram yang bermula Sabtu lalu sehingga semalam.
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata laporan itu melibatkan daerah Johor Bahru Utara, Johor Bahru Selatan dan Iskandar Puteri.
"Daerah Johor Bahru Utara mencatat laporan tertinggi sebanyak tujuh laporan, diikuti oleh Johor Bahru Selatan (tiga), Iskandar Puteri (satu) dan tiada sebarang laporan polis dibuat di Muar melibatkan kawasan DUN Simpang Jeram
"Namun, satu kertas siasatan telah dibuka, saya ingat semua dah maklumlah, mengenai laporan polis yang telah dibuat terhadap Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), D5 Bukit Aman," katanya kepada pemberita di Dewan Perumahan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, di sini, hari ini.
Selain itu, beliau berkata laporan polis yang dibuat, antara lain melibatkan ketidakpuasan hati terhadap pemasangan poster.
Beliau berkata pihaknya juga memantau penyokong-penyokong parti yang memuat naik hantaran berbaur 3R (agama, bangsa dan institusi diraja) di media sosial.
Kamarul Zaman juga mengingatkan semua calon dan penyokong serta jentera bagi parti yang bertanding supaya saling menghormati dan tidak melakukan sebarang kerosakan terhadap poster, bendera, kain rentang mana-mana parti politik.
Selain itu, mereka juga diminta mematuhi ketetapan masa yang diberikan sepanjang tempoh berkempen bagi mengelakkan pertembungan masa dan lokasi antara parti terlibat yang boleh menggugat ketenteraman awam.
Semalam, media melaporkan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegur jentera di Parlimen Pulai yang melanggar waktu berkempen dan seterusnya mengarahkan kaunter bergerak itu ditutup.
-- BERNAMA
#PRK #laporan polis #USJT #ketetapan masa