Printhero pertimbang guna pelampung stabilkan muzium feri terapung - SPPP

Bernama
Oktober 19, 2024 16:39 MYT
Yeoh Soon Hin berkata syarikat itu akan menjalankan kerja-kerja mengenal pasti dan menampal kebocoran sebelum feri berkenaan dibawa ke lokasi akhir Muzium Feri Pulau Pinang di Tanjong City Marina (TCM). - Bernama
GEORGE TOWN: Syarikat Printhero Merchandise Sdn. Bhd (Printhero) yang mendapat pajakan untuk menjadikan sebuah feri ikonik Pulau Pinang sebagai Muzium Feri Pulau Pinang, sedang mempertimbangkan penggunaan pelampung bagi mengangkat dan menstabilkan feri berkenaan.
Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) Datuk Yeoh Soon Hin berkata syarikat itu akan menjalankan kerja-kerja mengenal pasti dan menampal kebocoran sebelum feri berkenaan dibawa ke lokasi akhir Muzium Feri Pulau Pinang di Tanjong City Marina (TCM).
Beliau berkata kerja-kerja memasang cerucuk dan pemasangan meter elektrik di lokasi Muzium Feri Pulau Pinang telah selesai dilaksanakan dan pihak Printhero akan melaksanakan beberapa kerja akhir di TCM bagi persediaan menerima feri berkenaan.
"Feri Pulau Pinang telah dipajakkan oleh SPPP kepada Printhero untuk dijadikan muzium feri terapung melalui perjanjian pajakan selama 10 tahun bermula 1 Julai 2021 hingga 30 Jun 2031 dan syarikat berkenaan melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan pengubahsuaian feri itu di Bagan Dalam Slipway (BDS) bermula Julai 2021 hingga Oktober lepas.
"Kerja-kerja berkenaan dilaksanakan ketika feri itu terapung sepenuhnya di BDS dan bukannya secara naik galang, ketika itu keadaan di dalam ruang enjin adalah kering, bersih dan telah dicat semula," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mengikut perancangan Printhero, ruang enjin itu juga akan dibuka untuk kunjungan awam apabila muzium feri terapung dilancarkan kelak, dan feri itu telah ditunda keluar dari BDS pada 3 Okt untuk dibawa ke Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) bagi tujuan transit sebelum dipindahkan ke destinasi akhir di TCM.
Yeoh berkata feri itu tidak boleh dibawa terus ke lokasi akhir pada hari tundaan kerana perlu menunggu kesesuaian waktu arus pasang di TCM dan proses tundaan berjaya dilaksanakan tanpa sebarang kejadian tidak diingini.
Beliau berkata feri ditambat di dermaga inner berth SPCT pada 3 Okt dengan bantuan dan nasihat teknikal daripada SPPP, Penang Port Sdn Bhd (PPSB) serta bantuan juga diberikan dari segi penyelarasan bagi pembukaan Swing-Bridge milik KTMB di Sungai Perai pada tarikh berkenaan.
"Pada 6 Okt, pihak Printhero mendapati feri itu senget di dermaga dan hasil pemeriksaan menunjukkan bahawa air laut telah memasuki ruang enjin. Printhero mengambil tindakan segera dengan melantik kontraktor bagi kerja-kerja mengepam air dan membuat pemeriksaan lanjut untuk mengenal pasti punca kebocoran," katanya.
Beliau berkata pihak bomba PPSB turut membantu kerja-kerja mengepam air keluar dari ruang enjin selain bantuan teknikal marin yang diberikan oleh SPPP dan PPSB, malah sebuah bot tunda juga digunakan bagi menstabilkan feri berkenaan sepanjang kerja-kerja dilaksanakan.
Beliau berkata kerja-kerja mengepam air yang dilaksanakan kontraktor lantikan Printhero dengan bantuan pasukan bomba PPSB tidak berjaya menstabilkan feri dan berisiko tenggelam di dermaga sekiranya tidak dipindahkan segera ke lokasi lebih cetek.
Yeoh berkata pihak Printhero melalui kontraktor lantikan telah melaksanakan kerja-kerja menyelamat feri setiap hari bermula 7 Okt di lokasi baharu termasuk mengepam air menggunakan enam pam bagi mengenal pasti punca kebocoran dan melaksanakan kerja-kerja tampalan lubang oleh pasukan penyelam di sekeliling badan feri.
"Cabaran yang dihadapi ialah kerja-kerja itu hanya boleh dilakukan ketika air surut bagi memastikan paras air laut di bawah pengadang atau dek feri, dan air laut tidak memasuki semula ruang enjin melalui mana-mana lubang atau bukaan," katanya.
Beliau berkata feri berjaya ditegakkan pada 7 malam, 15 Okt ketika air surut setelah kerja-kerja mengepam air dilaksanakan sejak pagi, namun pihak kontraktor kesuntukan masa untuk melakukan pemeriksaan menyeluruh dan menutup mana-mana lubang yang dikenal pasti, feri itu kembali senget pada 8 malam setelah air mula memasuki ruang enjin.
Yeoh berkata pihak kontraktor telah menarik diri pada 16 Okt setelah berusaha kali terakhir hingga 10 malam dan semua peralatan menyelamat seperti pam, hos dan sebagainya dibawa keluar dari feri bagi mengelakkan hanyut ketika air pasang.
SPPP akan sentiasa memantau keadaan terkini dan menggandakan usaha untuk memastikan Feri Pulau Pinang itu berjaya diwujudkan sebagai muzium feri terapung.
-- BERNAMA
#printhero #muzium feri #pulau pinang #pelampung #Yeoh Soon Hin
;