Prinsip maqasid syariah tidak melibatkan isu AES
Wan Syamsul Amly
Februari 12, 2019 18:12 MYT
Februari 12, 2019 18:12 MYT
Faktor kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bukan keutamaan dalam isu penjagaan nyawa sekali gus tidak selari prinsip maqasid syariah semata-mata.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, ia turut melibatkan pemanduan cermat serta pendidikan berhemah di atas jalan raya.
"Jangan guna isu maqasid ini untuk menyatakan segala-galanya semua itu atas nama maqasid.
Sebab maqasid itu luas perbincangannya dan banyak lagi kaedah yang boleh dipakai untuk memastikan nyawa dapat diselamatkan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas Program Bicara Minda Sinar Harian di sini, pada Selasa.
Sebelum ini, Naib Presiden Amanah, Hasanuddin Mohd. Yunus bahawa pemasangan kamera AES menepati maqasid syariah.
Jelasnya, pemasangan AES dan saman yang dikeluarkan bertujuan menjaga nyawa pemandu serta penumpang, keselamatan pengguna dan harta benda yang ada di atas lebuh raya menepati maqasid syariah dalam Islam.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Langat menjelaskan kesimpulan itu dibuat berdasarkan perbualan dengan Anthony Loke sebelum Mesyuarat Jawatankuasa Pilihanraya Pakatan Harapan Jumaat lalu.
Bagaimanapun, Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Muhammad Faiz Fadzil menyangkal kenyataan Hasanuddin yang menjelaskan, pelaksaan AES tidak menepati prinsip maqasid syariah jika pelaksanaannya menekan hidup rakyat dan meningkatkan kadar keperitan hidup rakyat.