Prinsip keadilan Islam tidak beri keistimewaan kepada sesiapa lakukan kesalahan - Agong
Fareez Azman
September 5, 2022 11:50 MYT
September 5, 2022 11:50 MYT
KUANTAN: Prinsip melaksanakan keadilan di dalam Islam tidak sama sekali memberi keistimewaan atau pengecualian kepada sesiapa yang melakukan kesalahan.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam titahnya pada Isnin berkata, prinsip keadilan dalam Islam tidak membenarkan sebarang ketidakadilan kepada sesiapa jua, termasuk golongan tidak disenangi.
“Prinsip melaksanakan keadilan di dalam Islam telah difirmankan oleh Allah SWT seperti yang termaktub dalam surah An-Nisaa ayat ke-35.
“Menerusi ayat tersebut, keadilan Islam tidak sama sekali memberi sebarang keistimewaan atau pengecualian kepada sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan, sama ada diri sendiri, teman rapat, kaum keluarga mahupun ibu dan bapa,” titah baginda.
Tegas baginda lagi, hakikatnya undang-undang hanya memiliki satu prinsip, bahasa, hukuman dan aplikasi kepada sesiapa sahaja.
“Perintah Allah SWT yang terkandung di dalam ayat tersebut telah diperkukuhkan lagi dengan Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesungguhnya telah binasa orang-orang yang sebelum kamu iaitu sekiranya yang mencuri itu yang berpangkat tinggi.
“Lalu mereka dibiarkan sahaja, tetapi jika yang mencuri itu mereka yang lemah, lalu dengan segera dijatuhkan hukuman ke atasnya.
“Demi Allah, yang aku di dalam kekuasaannya. Kalaulah Fatimah Binti Muhammad mencuri, nescaya aku potongkan tangannya,” titah baginda lagi.
Terdahulu Al-Sultan Abdullah berkenan merasmi dan memasyhurkan Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Pahang, di sini, hari ini.
Kompleks mahkamah syariah yang siap dibina sepenuhnya pada 23 September 2021 itu menelan belanja kira-kira RM44.75 juta.
#Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Pahang
#tiada keistimewaan atau pengecualian
#Yang di-Pertuan Agong