Prinsip 3K demi jaga mahasiswa UTHM

Profesor Madya Dr Afandi Ahmad
April 16, 2020 10:44 MYT
Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Dr Wahid Razzaly turut turun padang meneliti proses agihan makanan kepada para pelajar yang tidak pulang - Foto UTHM
APABILA Perdana Menteri mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan dengan memasuki fasa ketiga, sudah pasti pelbagai perasaan melanda para pelajar yang masih berada di Universiti termasuklah ibu bapa mereka.
Usul agar para pelajar di Universiti dibawa pulang ke rumah masing-masing juga sedikit sebanyak menambah ketidaktentuan emosi mereka yang dikatakan “terkurung” di Universiti.
Menyedari cabaran mengurus COVID-19 yang sinonim dengan penyelesaian masalah yang kompleks dan bersifat VUCA (Volatility, Uncertainty, Complexity, Ambiguity), pasukan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) yang diketuai oleh Profesor Madya Dr Afandi Ahmad, selaku Timbalan Naib Canselornya, merumuskan formula 3K sebagai asas kerangka utama untuk mendepaninya.
Menerusi formula 3K yang merujuk kepada komponen Kebajikan, Kesejahteraan dan Keselamatan, kini seramai 2,576 orang pelajar sedang diuruskan di kedua-dua kampus UTHM, di Parit Raja dan Pagoh.
Bagi aspek kebajikan, para pelajar dibekalkan makanan dan minuman selain sumbangan-sumbangan yang diterima menerusi pelbagai pihak.
Bagi keperluan barangan peribadi pula, para pelajar boleh membelinya di kedai serbaneka kolej-kolej kediaman.
Sekiranya perlu juga, tempahan boleh dibuat kepada kepimpinan pelajar, pembantu felo dan felo di kolej-kolej kediaman untuk pembeliannya di luar kolej.
Selain kebajikan, komponen kesejahteraan pelajar turut diberikan perhatian serius. Pelbagai inisiatif diatur bagi memastikan para pelajar kekal tenang dan boleh mengurus emosi dengan pintar.
Ini juga penting bagi membolehkan para pelajar fokus dalam mengikuti pengajian secara jarak jauh yang telah mula berjalan.
Antara insiatif yang dilaksanakan ialah khidmat sokongan telekaunseling, panduan gaya hidup sihat (pemakanan dan kecergasan) serta sesi dalam talian yang dikenali Siri Kekal Positif bersama TNCHEPA.
Menerusi sesi ini, para pelajar berpeluang berinteraksi secara terus bagi mendengar pelbagai tips untuk belajar dalam suasana mencabar ini selain bertanya terus sebarang kemusykilan.
Selain itu, pelbagai pertandingan juga telah dan akan terus dijalankan bagi mengisi masa pelajar serta membina minda mereka walaupun dengan metodologi yang berbeza berbanding sebelum ini.
Bagi memastikan para pelajar patuh kepada PKP, aspek keselamatan juga dititik beratkan.
Pergerakan pelajar yang tinggal di kolej-kolej kediaman dikawal dan direkodkan.
Manakala para pelajar yang tinggal di rumah-rumah sewa sentiasa dinasihatkan agar kekal di rumah dan bergerak bagi keadaan yang perlu sahaja.
Kami di UTHM memahami kerisauan ibu bapa dan keluarga bagi anak-anak mereka yang masih berada di sini.
Namun, atas berkat sinergi semua pihak khususnya pasukan HEPA banyak perkara dapat diuruskan dengan berkesan.
Semua usaha berkaitan 3K ini akan terus diperkemas demi memastikan kehidupan mahasiswa di kampus walaupun pada tempoh mencabar ini dalam keadaan yang teratur.
Atas prinsip berkhidmat dengan penuh integriti dan dedikasi, kami yang menjalankan amanah ini akan terus berusaha sebaiknya.
Kebajikan, kesejahteraan dan keselamatan anak-anak pelajar sentiasa menjadi keutamaan pihak kami di UTHM.

*Profesor Madya Dr Afandi Ahmad merupakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UTHM.
**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
#Dr Afandi Ahmad #Kolumnis AWANI #KolumnisAWANI #Universiti Tun Hussein Onn #UTHM
;