Prihatin Rakyat prinsip panduan utama kerajaan Perikatan Nasional - PM

Khairunnisa Kasnoon
Ogos 30, 2020 22:02 MYT
Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berikrar untuk menjadikan Prihatin Rakyat sebagai prinsip panduan utama kerajaan Perikatan Nasional.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berikrar untuk menjadikan Prihatin Rakyat sebagai prinsip panduan utama kerajaan Perikatan Nasional.
Tegas beliau, sebuah kerajaan yang baik mestilah sentiasa prihatin kepada rakyat, di mana kebajikan rakyat adalah perkara harus diutamakan.
"Itulah lambang keprihatinan kerajaan kepada rakyat. Saya ingin tekankan Kerajaan Perikatan Nasional adalah kerajaan Prihatin Rakyat," kata beliau ketika menyampaikan Perutusan Khas sempena Hari Kebangsaan yang ke-63.
Ujar Perdana Menteri, prinsip tersebut telah pun diterjemahkan dalam pakej-pakej rangsangan ekonomi yang telah diumumkan sebelum ini oleh kerajaan.
"InsyaAllah, prinsip Prihatin Rakyat juga akan diterjemahkan dalam Belanjawan 2021 dan apa jua dasar, inisiatif dan pakej rangsangan ekonomi pada masa hadapan. Walaupun kerajaan berada dalam situasi yang sukar, kebajikan rakyat tidak akan diabaikan," katanya.
Beliau mengambil contoh pandemik COVID-19 memberikan pengajaran yang amat bermakna kepada seluruh rakyat Malaysia.
Katanya, sehingga kini, Malaysia berjaya menangani krisis tersebut kerana keprihatinan yang ditunjukkan rakyat Malaysia.
"Para frontliners (barisan hadapan) kita bekerja siang dan malam melawan wabak COVID-19 kerana mereka semua prihatin.
"Para sukarelawan sedia membantu mengagihkan bantuan makanan, menyediakan peralatan perlindungan peribadi dan lain-lain kerana mereka prihatin.," ujarnya lagi.
Tambahnya kepatuhan rakyat terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk melindungi diri, keluarga dan orang sekeliling juga adalah kerana keprihatinan antara satu sama lain.
Justeru, beliau menyeru semua rakyat Malaysia supaya menghayati semangat kemerdekaan dengan sentiasa menanam sikap prihatin yang mendalam terhadap satu sama lain.
"Prihatinlah terhadap keluarga kita, sahabat kita, jiran kita, pekerja kita dan semua insan yang berada di sekeliling kita.
"Prihatin jugalah kepada tanah air kita. Jagalah kemerdekaannya, pertahankanlah kedaulatannya, peliharalah keamanannya.
"InsyaAllah, tanah air kita yang tercinta ini akan kekal merdeka, bebas dan berdaulat selama-lamanya," tambahnya.
#COVID-19 #Hari Kebangsaan #Merdeka #Perdana Menteri #Perikatan Nasional #prinsip panduan utama #rakyat Malaysia #SOP
;