Prihatin Mart tawar harga barangan asas 30 peratus lebih murah

Nur Fazlizai Ali
Februari 2, 2021 08:42 MYT
Prihatin Mart menawarkan 91 jenis barangan keperluan asas yang dijual pada harga potongan sehingga 30 peratus. - Astro AWANI
HULU TERENGGANU: Pelaksanaan Prihatin Mart, kedai runcit bergerak yang menawarkan barang makanan asas pada harga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran, mampu meringankan beban rakyat apatah lagi ketika negara masih bergelut dengan pandemik COVID-19.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, inisiatif itu sebagai usaha membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat terutama yang terjejas pendapatan dan terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Jelasnya sebagai permulaan inisiatif digerakkan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Hulu Terengganu itu menawarkan 91 jenis barangan keperluan asas termasuk beras, bawang, gula pasir, tepung gandum dan minyak masak yang dijual pada harga potongan sehingga 30 peratus.
“Walaupun Ketika PKP ini banyak program tidak dapat dilaksanakan, namun kita rasa bahawa ini merupakan sesuatu yang perlu dilakukan untuk masyarakat terutamanya mereka yang terkesan dengan COVID-19,” katanya.
Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata untuk permulaan, Parlimen Hulu Terengganu menjadi perintis Prihatin Mart dan inisiatif ini digerakkan dengan kaedah penggiliran lokasi di empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Hulu Terengganu.
Beliau berkata, pihaknya bercadang menjadikan program ini antara agenda KPDNHEP di seluruh negara pada masa hadapan bagi membantu menangani kos sara hidup rakyat.
Sementara itu para penduduk menyambut baik pelaksanaan Prihatin Mart yang dapat membeli barangan keperluan asas dengan harga lebih murah daripada pasaran.
Menurut Sabariah Yusoff, inisiatif seperti ini harus kerap dilakukan bagi meringankan beban rakyat.
“Sepatutnya ia dibuat selalu kerana susah untuk mendapat pekerjaan ketika pandemic COVID-19 ini. Selain itu pelaksanaan PKP menjejaskan pendapatan ramai orang,” jelasnya.
Mereka juga berharap program ini akan berterusan dan diperluaskan ke lebih banyak tempat memandangkan ramai terjejas pendapatan dalam keadaan sekarang.
#COVID-19 #PKP #Prihatin Mart #barang makanan asas #harga pasaran #KPDNHEP #Rosol Wahid
;