Prevalen bantut, obesiti kanak-kanak dan dewasa meningkat - KKM

Hasimi Muhamad
Julai 18, 2024 02:10 MYT
Masalah bantut dan obesiti dipengaruhi oleh pelbagai faktor dan tidak terhad kepada masalah pemakanan sahaja. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan prevalen bantut dan obesiti dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa telah menunjukkan peningkatan di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, prevalen bantut dalam kalangan kanak-kanak berumur bawah lima tahun telah meningkat daripada 17.7 peratus pada 2015 kepada 21.2 peratus pada 2022.
Jelas beliau, prevalen obesiti dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun juga telah meningkat daripada empat peratus pada 2015, 5.6 peratus pada 2019 dan 6.0 peratus pada 2022.
"Bagi prevalen berlebihan berat badan dalam kalangan murid berumur 10 hingga 17 tahun turut meningkat daripada 14.6 peratus pada 2012 kepada 15.6 peratus pada 2017.
"Sementara itu, prevalen obes juga meningkat daripada 12.3 peratus pada 2012 kepada 14.8 peratus pada 2017. Data ini menunjukkan bahawa satu daripada tiga orang murid sekolah mengalami sama ada masalah berlebihan berat badan atau obes.
"Prevalen obesiti dalam kalangan dewasa meningkat dari 19.7 peratus pada tahun 2019 kepada 21.8 peratus pada tahun 2023," katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Alias Razak (PN-Kuala Nerus) mengenai statistik rakyat Malaysia yang mengalami bantut dan obesiti dari tahun 2013 hingga 2023 dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa.
Alias turut bertanyakan kesedian KKM untuk menyemak semula keberkesanan program untuk mengatasi isu bantut dan obesiti itu.
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata masalah bantut dan obesiti dipengaruhi oleh pelbagai faktor dan tidak terhad kepada masalah pemakanan sahaja.
Katanya, antara usaha berterusan KKM ialah menyemak semula pelaksanaan strategi dan program selari dengan dasar dan halatuju kementerian seperti Kertas Putih Kesihatan, Dasar Pemakanan Kebangsaan (DPKM) 2.0, Reviewed Nutrition Policy Options to Combat Obesity in Malaysia dan National Strategic Plan for Non-Communicable Diseases (NSP-NCD 2016- 2025).
Selain itu katanya, antara program dan aktiviti yang telah disemak semula bagi mengatasi isu bantut dan obesiti adalah seperti memperkukuh inisiatif 1,000 hari pertama kehidupan dengan menyasarkan kumpulan ibu hamil sehingga kanak-kanak berumur dua tahun yang meliputi penjagaan kesihatan dan pemakanan.
"Memperluaskan kriteria penerima dalam Program Pemulihan Kanak-kanak Kekurangan Zat Makanan atau Program Bakul Makanan bermula Jun 2022.
"(Dan) memperkasa Jurulatih Utama (JU) Cara Hidup Anda Terbaik (C-HAT) daripada kalangan ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi membantu mengatasi masalah obesiti di sekolah," katanya.
#Kes obesiti #Kanak-kanak terbantut #Dewan Rakyat