Prestasi SPM 2022: Mata pelajaran Sejarah tunjuk prestasi tertinggi
Azyyati Ahmad
Jun 8, 2023 10:40 MYT
Jun 8, 2023 10:40 MYT
PUTRAJAYA: Prestasi SPM tahun 2022 berbanding SPM tahun 2021 menunjukkan peningkatan dan penurunan bagi beberapa mata pelajaran.
Prestasi bagi mata pelajaran teras, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik dan Sains telah menunjukkan peningkatan.
Mata pelajaran Sejarah menunjukkan peningkatan prestasi tertinggi, iaitu sebanyak 0.23 mata.
Manakala, mata pelajaran Pendidikan Moral pula telah menunjukkan penurunan sebanyak 0.07 mata.
Sebanyak 69 daripada 95 mata pelajaran telah mencatatkan peningkatan, manakala 24 mata pelajaran telah mencatatkan penurunan.
Sementara itu, dua mata pelajaran telah menunjukkan prestasi tidak berubah atau kekal.
Peratus calon yang layak menerima sijil SPM 2022 juga telah menunjukkan peningkatan, kepada 91.6 peratus berbanding 88.1 peratus pada tahun 2021.
Peningkatan sebanyak 3.5 peratus ini juga merupakan pencapaian terbaik sejak syarat pensijilan 2013 diperkenalkan dan buat julung kalinya iaitu melebihi 90 peratus.
Manakala, 75.8 peratus daripada 1,490 Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK), iaitu dalam kalangan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) layak memperoleh sijil SPM tahun 2022 berbanding 69.1 pertaus pada tahun 2021.
Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 6.7 peratus iaitu 154 calon.
Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan SPM tahun 2022 yang lengkap boleh diakses menerusi portal Lembaga Peperiksaan di lp.moe.gov.my.