"Prestasi negeri Selangor merosot selepas saya tinggalkan jawatan MB" - Azmin
Fareez Azman
Oktober 16, 2022 18:54 MYT
Oktober 16, 2022 18:54 MYT
GOMBAK: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa, prestasi negeri Selangor semakin merosot selepas beliau meninggalkan jawatan Menteri Besar negeri itu pada 2018.
Tegas penyandang kerusi Parlimen Gombak itu berkata, kerjasama baik di antara kerajaan negeri dan Persekutuan perlu dijalin oleh pentadbiran Selangor.
"Lepas saya tinggal (jawatan Menteri Besar) nampak merosot prestasi (Selangor), jadi tanggungjawab saya mahu mengekalkan kecemerlangan Selangor supaya Selangor akan terus membangunkan memberi manfaat semua rakyat selangor dan kita dapat menjalin satu kerjasama baik dengan kerajaan negeri dan Persekutuan," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Hari MITI 2022, di sini, pada Ahad.
Ditanya bagaimana hubungan di antara kerajaan persekutuan dan negeri Selangor sebelum ini, jelas Azmin yang juga Menteri Antarabangsa dan Industri, ia berada dalam keadaan baik.
"Secara peribadi baik, tapi mungkin perlu dipertingkatkan (kerjasama).
"Terpulang kepada rakyat, saya di mana pun boleh, kita kalau benih yang subur dicampak ke laut menjadi pulau dan dicampak ke tanah menjadi gunung," kata Azmin menjawab soalan kesediaaan beliau kembali menerajui negeri itu.