Prestasi memberangsangkan di Chengdu cetus inspirasi buat Jun Hao

Bernama
Jun 12, 2024 07:00 MYT
Aksi Jun Hao ketika menentang Koki Watanabe pada peringkat suku akhir Kejohanan Badminton Piala Thomas 2024 di Pusat Sukan Chengdu High-tech Zone di Chengdu pada 2 Mei lalu. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Keupayaan menyaingi kehebatan beberapa pemain ternama dunia pada Piala Thomas 2024 di Chengdu, China menjadi titik permulaan kepada kebangkitan pemain perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao.
Jun Hao, yang menduduki ranking ke-28 dunia berkata persembahan meyakinkan disajikannya termasuk mengejutkan dua pemain di ranking lebih tinggi seperti Angus Ng Ka Long (ke-23) dari Hong Kong dan Koki Watanabe (ke-21) dari Jepun memberi inspirasi untuknya menunjukkan belang pada kejohanan individu.
Pemain berusia 24 tahun itu mengakui berasa lega selepas dapat membuktikan dirinya mampu beraksi dengan baik pada kejohanan individu sekali gus menangkis tanggapan dirinya hanya mampu menyinar pada kejohanan berpasukan sebelum ini.
"Mungkin dari sana (Piala Thomas 2024) dapat main dengan pemain lebih tinggi dan selepas itu saya ambil sedikit masa untuk membina momentum menghadapi beberapa kejohanan seterusnya.
"Saya juga dapat belajar dari segi kekuatan pemain terkemuka dunia lain sewaktu berdepan mereka pada beberapa kejohanan baru-baru ini," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di sini semalam.
Pada Piala Thomas 2024, Jun Hao membantu Malaysia menumpaskan Hong Kong 5-0 pada aksi pembukaan Kumpulan D dengan bangkit dari ketinggalan mengejutkan Angus 17-21, 21-12, 21-15 disusuli kemenangan ke atas Watanabe 21-13, 21-10 yang menyaksikan pasukan negara menyingkirkan Jepun, 3-1, pada aksi suku akhir.
Pemain dari Kuala Lumpur itu kemudian melakar keputusan sensasi dengan meranapkan impian Anthony Sinisuka Ginting mempertahankan kejuaraan pada Terbuka Singapura 2024 selepas menewaskan wakil Indonesia itu 21-14, 10-21, 21-8, pada pusingan kedua, bulan lepas.
Minggu lepas, beliau berjaya melenyapkan sokongan penyokong di gelanggang ikonik Istora Senayan, untuk menyingkirkan wakil tuan rumah yang juga pemain ketiga dunia Jonatan Christie 13-21, 21-16, 21-12 pada pusingan pertama Terbuka Indonesia 2024.
Jun Hao yang meneruskan kemaraan ke pusingan kedua kejohanan bertaraf Super 1000 melakar kemenangan ke atas pemain ke-13 dunia dari Taiwan, Chou Tien Chen 21-18, 13-21, 21-17 sebelum tunduk kepada juara bertahan Sukan Asia Li Shi Feng dari China 11-21, 12-21 di peringkat suku akhir.
Dalam pada itu, beliau berharap dapat mengekalkan konsistensi melakar pencapaian membanggakan mengatasi pemain handalan dunia yang lain pada masa akan datang.
Bekas juara remaja Asia 2017 itu pada masa sama berharap dapat menembusi kelompok 20 pemain terbaik dunia selain menyasarkan sekurang-kurangnya satu gelaran menjelang hujung tahun ini.
Kali terakhir Jun Hao bergelar juara adalah pada Masters Kuala Lumpur 2023 November lepas selepas mengecewakan wakil Taiwan Lee Chia Hao 22-20, 21-13 dalam aksi final.
-- BERNAMA
#Leong Jun Hao #badminton #China #Piala Thomas 2024
;