Prestasi kehadiran lemah: PM tidak puas hati

Harits Asyraf Hasnan
Julai 23, 2018 16:33 MYT
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kelihatan keluar dari Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. -fotoBERNAMA
Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini melahirkan rasa tidak puas hati dengan prestasi kehadiran menteri dan timbalan menteri di Dewan Rakyat.
Perdana Menteri menegaskan, mereka yang gagal hadir ke Parlimen perlu mengemukakan alasan yang kukuh atas ketidakhadiran tersebut.
"Saya tidak pernah berpuas hati dengan apa pun. Namun, menteri dan timbalan menteri perlu meningkatkan prestasi kehadiran mereka di Dewan Rakyat dan mereka perlu ada alasan yang kukuh untuk tidak hadir," katanya.
Bercakap kepada media di lobi Parlimen, beliau bagaimanapun berkata, tidak bercadang menetapkan indeks prestasi utama (KPI) untuk mengukur prestasi menteri dan timbalan menteri dalam menjalankan tugas di Parlimen.
"Sidang Dewan Rakyat ini berjalan hampir separuh hari. Dan untuk 20 hari persidangan ini, sukar untuk mereka hadir dan berada di sini sepanjang hari... Itu tidak praktikal.
"Kita perlukan mereka untuk tugasan lain juga," katanya.
Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan diri beliau dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri, Dr Mahathir berkata beliau berusaha sebaik mungkin.
"Saya sudah pun memanjangkan masa saya selama yang boleh. Saya bekerja 24 jam sehari.
"Jika anda boleh carikan saya lebih banyak masa dalam sehari, katakanlah 36 jam, saya akan bekerja selama 36 jam juga," katanya berseloroh.
#Dewan Rakyat #kehadiran #Mahathir Mohamad #menteri #Timbalan Menteri
;