Prestasi kakitangan bukan lagi diukur dengan bilangan kursus - Hishammuddin

Wan Syamsul Amly
Mac 24, 2016 22:05 MYT
HISHAMMUDDIN: Kakitangan juga harus berupaya memberikan dimensi global dan nilai tambah dalam tugas yang diamanahkan. -Gambar fail
Prestasi kakitangan sudah tidak boleh lagi diukur dengan bilangan kursus, kehadiran ke pejabat atau tempoh berkhidmat di dalam sesuatu organisasi.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, mereka kini perlu mempunyai keupayaan memberikan penyelesaian alternatif yang lebih baik, kreatif dan kritis berbanding sistem atau amalan sedia ada.
"Kakitangan juga harus berupaya memberikan dimensi global dan nilai tambah dalam tugas yang diamanahkan.
"Mereka juga melibatkan diri dalam ikhtiar sosial ke arah memantapkan masyarakat seperti kerja-kerja kesukarelaan dan memahami fungsi serta perjalanan seistem kementerian yang melangkaui bidang tugas serta jabatan sendiri," katanya.
Hishammuddin berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Cemerlang serta Pingat Perkhidmatan dan Pekerti Terbilang 2016 Kementerian Pertahanan di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohd Radzi dan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.
Pada majlis sama, Hishammuddin turut mengumumkan penajaan pengajian kepada dua penuntut Sarjana dan dua lagi penuntut Doktor Falsafah bagi tahun ini dari warga awam dan tentera di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Jelas Hishammuddin, penilaian kepada kakitangan juga harus dibuat secara adil untuk mengelakkan kesilapan sekali gus penganiayaan kepada individu terbabit.
"Sama ada kita sedar atau tidak, penilaian adil kepada kakitangan boleh berlaku dalam beberapa keadaan, misalnya penilaian dalam keadaan marah atau memberi penilaian rendah kerana tidak berpuas hati dengan sikap kakitangan yang mengambil pendirian berbeza.
"Jika ia berlaku, ia adalah tidak adil dan impaknya amat besar serta buruk. Ia akan mematikan motivasi serta semangat kakitangan dan menunjukkan kerendahan tahap keterbukaan dan profesionalisme sebagai ketua," ujarnya.
Dalam pada itu, kata Hishammuddin, pengurusan harus sentiasa mengkaji serta memastikan setiap kursus atau program pengembangan adalah yang terbaik dan berkesan untuk organisasi.
"Saban tahun kita memperuntukkan jumlah dana yang besar untuk tujuan latihan dan pembinaan kapasiti kakitangan namun kebanyakan kursus sedia ada bercorak 'tangkap muat' termasuk pemilihan peserta.
"Jika kita mahu meningkatkan prestasi, setiap program perlu benar-benar mencabar, berkualiti, berkesan dan memberi nilai serta makna," jelasnya.
Hishammuddin turut meminta kakitangan sentiasa memberikan cadangan penambahbaikan kepada pihak pengurusan untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan.
"Seperkara yang boleh saya jamin, pentadbiran saya mengamalkan demokrasi dan keterbukaan yang seluas-luasnya sekiranya ada sebarang idea yang menarik.
"Kita juga tidak teragak agak untuk mempertimbangkannya dan jika baik akan dilaksanakan. Sekalipun ia idea daripada pegawai peringkat bawahan, jangan khuatir untuk ke hadapan dan kita fikirkan bersama cara terbaik untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam," katanya.
#bilangan kursus #Hishammuddin #kakitangan kerajaan #kehadiran ke pejabat
;